Nasihat bapa jadi pedoman, Thamaraj muncul juara kejohanan silat dunia

Atlet kelahiran Kedah ini mengikuti nasihat bapanya untuk sentiasa rendah diri serta terbuka untuk belajar

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR –  Nasihat seorang bapa bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya ia adalah kata-kata azimat untuk maju ke hadapan, membantu si anak untuk melangkah dengan penuh keyakinan.

Itu yang menjadi pegangan kepada pesilat kebangsaan V. Thamaraj, yang menghayati nasihat bapanya: supaya jangan hadkan diri kepada satu jalan sahaja tetapi terbuka untuk mempelajari perkara baru. 

Pemikiran berkenaan akhirnya membawa beliau menjadi bangsa India di Malaysia yang pertama menjuarai Kejohanan Dunia Pencak Silat.

Atlet berusia 28 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah itu, telah memecah tanggapan selama ini bahawa silat hanya untuk orang Melayu sahaja.

Ia terbukti apabila dia berjaya mengalah Diyorbek Khudoyberdiev dari Uzbekistan dalam kategori terbuka lelaki (melebihi 110kg) di Kejohanan Dunia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan memperoleh pingat emas pada 22 Disember lalu.

Kemenangan bersejarah ini bukan sahaja meletakkan namanya dalam sejarah malah memperoleh kenaikan pangkat dari koperal kepada sarjan, dalam Kor Polis Tentera Darat (KPTD) berkuatkuasa 2 Januari 2025.

Bercakap secara eksklusif kepada Scoop, Thamaraj, yang melibatkan diri dalam sukan taekwondo ketika remaja, dia berkongsi bagaimana bapanya, Vasudevan, sentiasa memberikan nasihat supaya kekal endah diri dan sentiasa belajar.

Nasihat itu, katanya Thamaraj menjadi kunci kepada kejayaannya.

Meskipun silat sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu di negara ini, namun bapanya menggalakkan dia untuk menghargai kebudayaan komuniti lain, dengan kepercayaan bahawa pendekatan itu akan memupuk rasa hormat dan menggalakkan perpaduan, iaitu asas kekuatan Malaysia.

“Tanpa sokongan appa (bapa), saya tiada apa apa kerana beliau membentuk saya menjadi siapa saya hari ini. Beliau tidak pernah menjadi halangan untuk saya dan sentiasa memberitahu saya untuk bergaul dengan semua kaum dan belajar budaya,’’ katanya.

Thamaraj berkata, dia dibesarkan di Kulim dan kemudian di Sungai Petani serta mendapat semangat daripada bapanya dalam seni pertahanan diri iaitu kepakarannya dalam kalaripayattu, taekwondo dan karate. 

“Ini membentuk beliau untuk menjadi seorang pegawai dalam KPTD, dan ketika berusia sekitar 12 atau 13 tahun, saya memutuskan untuk mengikuti jejak langkah bapa saya bukan hanya sebagai pegawai tetapi juga sebagai ahli seni bela diri sepertinya.

“Appa sentiasa memberitahu saya bahawa saya harus membuat keluarga bangga dan tidak menghadkan diri dalam apa sahaja yang saya lakukan.

“Itulah sebabnya saya mengambil inisiatif untuk belajar silat dengan menyertai rakan-rakan Melayu saya di kawasan tersebut.

“Saya menghabiskan masa lebih 10 tahun untuk menguasai seni ini, menggunakan asas yang saya pelajari dari taekwondo untuk membantu saya.

“Kawan-kawan Melayu saya dan guru-guru silat tidak pernah menganggap saya seperti orang luar. Mereka menganggap saya seperti keluarga, mengajar saya segala-galanya dengan kesabaran dan perhatian.

“Saya sangat gembira kerana mengikuti nasihat appa saya. Ia telah menjadikan saya juara dunia. Saya tahu ibu bapa saya berasa bangga apabila melihat kegembiraan di mata mereka saat saya bergelar juara.

“Saya berjanji untuk terus mengikuti nasihat mereka dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,’’ katanya.

Pada masa yang sama, Thamaraj turut berharap kemenangannya memberikan inspirasi kepada lebih ramai bukan Melayu untuk menceburi silat dan memecahkan stereotaip dalam sukan ini. 

“Silat adalah salah satu seni yang paling halus di luar sana. Ia telah mengajar saya disiplin, rasa hormat dan kepentingan beradab dalam masyarakat. Pencapaian ini tidak seharusnya berhenti dengan saya dan saya mahu melihat lebih ramai bukan Melayu menceburi sukan ini. 

“Kita sudah mempunyai atlet dari Sabah dan Sarawak, tetapi akan lebih baik jika lebih ramai dari semenanjung. Sudah tiba masanya kita keluar dari zon selesa dengan memecahkan stereotaip dan membawa kebanggaan kepada negara yang kita semua cintai,” katanya.

Edisi ke-20 Kejohanan Dunia Pencak Silat menyaksikan Malaysia pulang dengan sejumlah enam emas, sembilan perak dan empat gangsa. Skuad junior kebangsaan juga membawa pulang lima emas, empat perak dan empat gangsa. – 27 Disember 2024

Topics

 

Hangat

Perlesenan media sosial di Malaysia: Memperketatkan keselamatan pengguna media sosial rakyat Malaysia

Badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, dan kerajaan Singapura antara yang menghubungi MCMC untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan inisiatif akta perlesenan media sosial dalam negeri

Australian legend Tim Cahill set to be FAM’s national team technical advisor

Former Everton player chosen to instil world-class mindset in Harimau Malaya to begin with analysing team’s performance in coming AFF Cup

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Related