Terengganu tetap laksana hukuman sebat di khalayak ramai esok meskipun berdepan bantahan

'Walaupun ada kritikan, kami percaya hukuman akan dilaksanakan ini adalah langkah tepat untuk memperkasakan undang-undang syariah yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara' kata Exco Terengganu

7:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan dengan kritikan, kerajaan negeri Terengganu akan melaksanakan hukuman sebat ke atas seorang lelaki di hadapan khalayak ramai, selepas solat Jumaat di i Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu esok.

Malah persiapan akhir bagi pelaksanaan hukuman itu telah dijalankan bagi memastikan ia berjalan lancar.

Menurut Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi, hukuman itu akan dilaksanakan di Dewan ‘Aasim di masjid berkenaan dan turut melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Beliau memberitahu, beberapa garis panduan telah ditetapkan bagi memastikan 70 individu yang dibenarkan menyaksikan hukuman itu termasuk media mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pelaksanaan hukuman sebat ini akan menjadi titik perubahan dalam sejarah undang-undang syariah negara dan ia bukan sekadar simbolik, sebaliknya adalah satu langkah serius bagi mendidik dan memperkasakan masyarakat secara berkesan.

“Kita akui terdapat bantahan daripada pelbagai pihak tetapi kerajaan negeri tetap akan melaksanakan hukuman ini.

“Walaupun ada kritikan, kami percaya hukuman akan dilaksanakan ini adalah langkah tepat untuk memperkasakan undang-undang syariah yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara,’’ katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.

Khalid ditemui selepas mengadakan tinjauan dan mendengar taklimat daripada polis dan pihak berkuasa di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini.

Pada Jumaat, seorang lelaki, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan melakukan khalwat berulang.

Hukuman sebatan itu akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu, selepas solat Jumaat dengan hanya 70 individu dibenarkan berada di tempat hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi.

Sebelum ini pada 11 Julai 2023, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Pada 25 Januari lalu, tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, Majlis Peguam dalam kenyataannya hari ini menggesa kerajaan negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula amalan hukuman sebat di khalayak ramai kerana ia kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan martabat.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, sebatan di khalayak ramai memburukkan lagi penghinaan dan penderitaan yang dialami oleh individu yang dihukum, menjadikan mereka sebagai objek aib awam, bukannya mendorong pemulihan atau keinsafan.

“Pendekatan ini menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Tambahan pula, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak awam melampaui batasan yang ditetapkan bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355],’’ katanya.

Ezri juga menekankan meskipun Akta 355 membenarkan hukuman sebat namun ia tidak memperuntukkan hukuman itu dijalankan di hadapan khalayak ramai. – 26 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related