Peruntukan dana Parlimen: Syed Saddiq gagal dapat kebenaran semakan

Hakim berkata perkara peruntukan adalah urusan eksekutif yang berada di luar bidang kuasa mahkamah

1:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan untuk kawasan parlimen berkenaan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam penghakimannya berkata permohonan itu dibuat di luar masa, dan beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.

“Permohonan itu tidak difailkan dalam tempoh tiga bulan yang ditetapkan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Perkara peruntukan adalah urusan eksekutif yang berada di luar bidang kuasa mahkamah,” kata hakim itu yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengikat agensi kerajaan untuk memperuntukkan dana sedemikian kepada mana-mana Ahli Parlimen, tanpa mengira sokongan mereka kepada kerajaan.

“Oleh itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran ditolak… memandangkan kepentingan awam dalam sesuatu kes, saya tidak membuat sebarang perintah terhadap kos,” kata beliau.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Syed Saddiq berkata beliau akan merayu terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 23 April lepas, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan Parlimen Muar, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah, dan Muhamad Fadzly Bisri, yang memfailkan permohonan itu telah menamakan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan memberhentikan penyaluran RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya dimasukkan terus ke akaun bank Pusat Khidmat Parlimen Muar bagi program kesejahteraan masyarakat, kebajikan dan bantuan bencana.

Selain itu, mereka memohon mahkamah mengembalikan semula akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta bagi kawasan itu, serta keputusan membatalkan beberapa projek bernilai RM230,300 yang diluluskan melalui sistem itu.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar, untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan parlimen itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. – 24 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related