SHAH ALAM – Penglibatan YTL Cement dalam pemberian geran Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri (UIRC) membuktikan pemain industri turut memainkan peranan penting dalam aspek pemuliharaan dan penyelidikan landskap kars tropika.
Pengarah UIRC, Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo berkata tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari YTL Cement itu membolehkan hasil dapatan penyelidikan digunakan untuk pembangunan industri.
“UIRC berhasrat untuk menghidupkan budaya penyelidikan secara individu agar pensyarah-pensyarah muda yang terpilih menerima geran dapat membina kekuatan diri dalam research yang dilakukan.
“Jika sebelum ini, penyelidikan lebih tertumpu kepada penerbitan jurnal akademik, kali ini UIRC mahu hasil dapatannya diaplikasikan dalam pembangunan industri.
“Sebagai contoh, hasil penyelidikan menunjukkan sesuatu kawasan itu sesuai dijadikan sebagai lokasi pelancong atau pelombongan bijih timah, sekali gus memberi rujukan buat pemain industri (syarikat berkaitan),” katanya kepada Scoop.my.
Ibrahim ditemui pada Simposium 2024: Landskap Kars Tropika: Cabaran Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari di sini, hari ini.
Sementara itu, pakar arkeologi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Profesor Datuk Mokhtar Saidin berkata pemberian biasiswa dan geran penyelidikan buat julung kali diadakan UIRC dengan kerjasama YTL Cement dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menunjukkan bidang itu semakin menunjukkan kemajuan dari masa ke semasa.
“Jika dulu masa zaman saya belajar, tak ramai pelajar ambil jurusan arkeologi.
“Namun, selari dengan peredaran masa saya nampak kemajuan positif dari tahun ke tahun, malah ramai pelajar perempuan menunjukkan minat dalam bidang ini (yang lebih dipelopori pelajar lelaki sebelum ini).
“Diharap dengan pemberian geran ini, kita harap akan lebih banyak hasil dapatan dapat memberi sumbangan kepada industri arkeologi negara secara menyeluruh,” katanya.
Dalam simposium itu, lima pensyarah yang menerima tawaran Geran Industri Penyelidik Muda ialah Dr Mohd Al Farid Abraham dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Khor Wei Chung (UMS), Dr Shaiful Idzwan Shahidan (Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr Muhd Nur Ismail Abdul Rahman (Universiti Malaysia Terengganu) dan Dr Mohd Shazwan Mokhtar (UKM).
Mereka menerima geran RM30,000 daripada dana Biasiswa MyBrain 2.0.
Manakala, enam pelajar cemerlang yang menerima biasiswa tersebut ialah Siti Noor Syafarehan Mohd Isa (UKM), Nurul Azira Mohd Zamziba (UKM) dan Nurul Hazlina Acheh (Universiti Malaysia Sarawak).
Tiga pelajar UMS yang terpilih ialah Nesda Rojuin, Hilda Tee Suiwei dan Shaelza Shaca Shalmon. – 23 Disember, 2024