KUALA LUMPUR – Aktivis haiwan Shima Aris mempertikaikan dakwaan pihak berkuasa dan persatuan bahawa kematian kucing di kampus Universiti Malaya (UM) baru-baru ini berpunca daripada serangan haiwan liar.
Bercakap pada sidang media, Shima mendedahkan telah membawa salah satu bangkai kucing itu ke klinik haiwan swasta untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan menunjukkan kecederaan itu dilakukan oleh manusia dan bukan haiwan liar.
“Penemuan ini bercanggah dengan kenyataan pihak berkuasa bahawa kucing yang ditemui dalam keadaan menyayat hati itu diserang oleh anjing liar,” katanya.
Laporan doktor haiwan menyatakan bahawa kecederaan adalah luka tepat pada sendi haiwan, selaras dengan penggunaan alat tajam.
Tegas Shima dan doktor haiwan, kecederaan seperti itu tidak mungkin disebabkan oleh anjing liar, kerana serangan anjing biasanya melibatkan luka tusukan, koyakan dan tanda-tanda pergelutan. Namun, tiada satu pun yang jelas pada bangkai yang diperiksa.
“Bukti ini menjelaskan bahawa kematian itu disengajakan dan melibatkan penggunaan alatan tajam. Adalah penting bagi pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh,” tambah Shima.
Semalam, polis mengesahkan bahawa kematian beberapa kucing terbiar di kawasan universiti tempatan adalah disebabkan oleh serangan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa bagaimanapun tidak menamakan institusi pengajian tinggi terbabit, namun dilaporkan beberapa kucing mati dengan tanda-tanda diserang telah ditemui di UM baru-baru ini.
Beliau berkata polis telah merujuk kes itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), yang mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami oleh kucing hingga menyebabkan kematiannya adalah konsisten dengan serangan anjing liar.
Bagaimanapun, peguam hak asasi haiwan Rajesh Nagarajan turut mengkritik cara pihak berkuasa mengendalikan kes itu, mempersoalkan dakwaan mereka bahawa ia disebabkan anjing liar dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.
“Isu ini menjadi besar kerana banyak kucing telah dibunuh, namun polis mengaitkannya dengan anjing liar. Kesimpulan ini tidak berasas,” katanya.
Rajesh turut mengecam JPV kerana gagal menjalankan bedah siasat dan menanam bangkai kucing secara tergesa-gesa.
“Di mana laporan bedah siasat? Bagaimana mereka boleh mengisytiharkan ia adalah anjing jika tiada siasatan yang sewajarnya?
“Ini adalah tugas mereka, dan mereka dibayar untuk itu. Mengapa kita, orang ramai, perlu campur tangan?” soalnya.
Rajesh turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berdiam diri lembaga kebajikan haiwan dan kekurangan ketelusan daripada pihak berkuasa.
Beliau turut mencabar polis dan JPV untuk membuktikan dakwaan mereka.
“Jika kami salah, tunjukkan bukti. Beritahu kami mengapa kami salah, dan saya akan minta maaf. Tetapi sehingga itu, kami menuntut jawapan dan keadilan,” katanya.
Sejak November lalu, lima kes kucing mati dalam keadaan ngeri telah dilaporkan di kampus UM, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kebimbangan masyarakat.
Susulan itu, pelajar UM mengambil inisiatif bersatu tenaga untuk melindungi kucing terbiar di kampus dengan menyelamatkan, menyediakan tempat perlindungan dan memastikan keselamatan mereka. – 23 Disember, 2024