Perlu ada ‘unwritten understanding’ dalam gabungan kerajaan, tak ambil ahli parti lain: Tok Mat

‘unwritten understanding' itu perlu bagi menjaga sensitiviti antara parti serta mengelak berlaku keretakan

7:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua parti politik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan seharusnya mempunyai persefahaman supaya tidak mengambil ahli daripada parti masing-masing.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ‘unwritten understanding’ itu perlu bagi menjaga sensitiviti antara parti serta mengelak berlaku keretakan.

Beliau berkata, ia penting bagi menjaga keharmonian serta hubungan baik antara parti yang telah sedia ada.

“Saya harap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mesti ada suatu ‘unwritten understanding’ supaya tidak mengambil ahli-ahli daripada parti masing-masing untuk menjaga keharmonian.

“Ini merupakan perkara yang sensitif dan sensitiviti antara parti itu perlu dijaga kerana kalau tidak, nanti akan meretakkan hubungan baik sedia ada,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai berhubung desas desus penyertaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke PKR.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, bagaimanapun Umno tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk keluar daripada parti kerana itu hak masing-masing.

“Itu terpulang kepada tuan punya diri. Kalau tuan punya diri berasakan yang Umno tidak lagi mempunyai tempat pada dia, terpulanglah.

“Kita tidak menyekat orang nak pergi mana-mana. Ini bukan pertama kali pemimpin Umno keluar parti dan ini perkara biasa. Orang pergi, orang masuk biasa, jadi terpulang kepada tuan punya diri.

“Jika dia berasakan Umno bukan lagi tempat untuk tingkatkan kerjaya terpulanglah…’all the best to him’,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan adanya perbincangan awal dalam parti berkenaan berhubung kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam Kabinet.

Menurut Anwar, PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam parti itu asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.

Susulan itu Tengku Zafrul mengakui ada menyertai perbincangan dengan PKR, namun belum membuat keputusan berhubung penyertaannya dalam parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu bagaimanapun berkata, perbincangan berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengambil ahli daripada parti komponen lain bagi mengelak perpecahan dalam gabungan itu.

Sementara itu Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, jika hasrat Zafrul menyertai PKR kerana dipelawa rakan sekutu, ia satu rompakan secara jelas di siang hari.

“Secara peribadi saya berpandangan biarlah Zafrul pergi. Tidak ada kebaikannya dia kekal dalam Umno setelah ceritanya dah tersebar luas. Kalau dia kekal dalam Umno pun dah jadi ‘sour grape’.

“Yang patut diberi perhatian ialah masa depan bubungan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Apakah ianya akan berpanjangan atau putus ditengah jalan?, soalnya.

Beliau berkata, Umno sendiri mempunyai pengalaman perit apabila 16 ahli Parlimennya melompat kepada Bersatu selepas PRU-14.

“Ianya telah menjadi sejarah hitam yang terpaksa ditelan Umno sekali pun pahit. Namun keadaan telah tenang dan Umno semakin melupakan cerita itu.

“Setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bersama PH selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Umno telah memberikan tumpuan untuk mengekalkan kerajaan ini demi kesetabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Malah Presiden Umno sendiri telah berkali-kali menegaskan kerjasama ini akan diteruskan dalam PRU16,” katanya. – 21 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related