Insiden penyokong bola sepak bergaduh di LRT Bandar Tasik Selatan dalam siasatan polis: Prasarana

Prasarana berkata insiden berlaku membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang - Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi

3:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi.

Prasarana memaklumkan, pihaknya juga sudah membuat satu laporan polis berhubung insiden itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas kesemua pelaku.

“Prasarana amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.

“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden dan sedang bekerjasama dengan PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Prasarana berkata insiden berlaku membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang – Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.

“Insiden ini mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut.

“Pihak polis bantuan Prasarana berjaya meleraikan pergaduhan yang berlaku dan membawa keluar kumpulan penyokong dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih berbahaya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

“Kami juga menggesa semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah (KPD) Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dalam satu kenyataaan mengesahkan insiden pergaduhan itu berlaku di platform stesen LRT Bandar Tasik Selatan, di sini, pada jam 12.03 malam tadi.

Menurut beliau, sekumpulan penyokong bola sepak keluar dari tren dan berlaku pertengkaran di antara penyokong kumpulan berlainan, melibatkan 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif bertumbuk satu sama lain.

“Ini termasuk tindakan membaling tong sampah ke arah penghadang pintu lif tren serta menendang pintu tren, sekali gus mengakibatkan kerosakan pada pintu cermin tren.

Insiden menyebabkan tren terhenti sekitar lapan minit. Namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat ke atas harta benda.

“Polis memohon kerjasama orang ramai atau mereka terlibat tampil untuk membantu siasatan,” katanya. -21 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related