Hakim baharu dengar kes saman US$346 juta 1MDB ke atas Rosmah

Mahkamah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk kedua-dua pihak mengemas kini status saman tersebut

8:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kes saman US$346 juta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 lagi terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah didakwa menggunakan dana yang diseleweng kini didengar oleh Hakim Wan Muhammad Amin Wan Yahya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Villasha Anbalagan, yang mewakili kesemua plaintif.

“Hari ini adalah pengurusan kes pertama di hadapan hakim baharu iaitu Wan Muhammad Amin Wan Yahya dan mahkamah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk kedua-dua pihak mengemas kini status saman tersebut,” katanya dalam mesej di aplikasi WhatsApp selepas prosiding itu yang dijalankan menerusi Zoom.

Bulan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Leong Wai Hong telah menarik diri daripada mendengar kes saman itu selepas membenarkan permohonan Rosmah kerana mempunyai kaitan dengan firma guaman Tetuan Skrine.

Leong, yang juga bekas rakan kongsi di Skrine sebelum dilantik menjadi hakim, membuat keputusan itu susulan permohonan Rosmah yang menzahirkan kebimbangan berhubung konflik kepentingan kerana Skrine mewakili 1MDB dalam sman terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak, dan beberapa pegawai 1MDB.

Sebelum Leong, kes itu didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid yang menolak permohonan Rosmah pada 9 September lepas agar beliau menarik diri selepas memutuskan bahawa isteri bekas Perdana Menteri tersebut gagal membuktikan sebarang bahaya nyata risiko berat sebelah sekiranya beliau terus mendengar saman sivil berkenaan.

Bagaimanapun, Adlin kemudian telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Harta Intelek) dan Leong mengambil alih kes itu.

Pada 9 Mei lepas, 1MDB dan 10 syarikat terbabit memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih US$346 juta yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.

Lima daripada syarikat itu adalah anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited, and SRC International Sdn Bhd manakala lima lagi ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani, juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri, masing-masing sebagai defendan pertama serta kedua.

Mereka menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksir oleh mahkamah selain deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak ke atas barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan beliau. – 19 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related