KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan keputusan mahkamah melepas dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram, sebagai hadiah sempena hari lahirnya dan juga hadiah kepada suaminya, Datuk Seri Najib Razak.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 10 Disember lalu.
“Bukan sahaja hadiah kepada hari jadi saya tapi juga hadiah untuk Bossku (Najib).
“Sudah tentu saya akan maklumkan kepada dia (Najib),’’ katanya kepada pemberita di luar mahkamah hari ini.
Rosmah turut menyifatkan ia satu keputusan yang tepat dan keadilan.
“Dari hari pertama lagi, pasukan peguam telah memberitahu, kes saya ini tiada asas. Namun kita tidak tahu. Kita tidak sepatutnya bermain-main dengan keadilan,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Dalam penghakimannya, Hakim Muniandy berkata pertuduhan terhadap Rosmah gagal untuk menyatakan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil haram, serta tidak memperincikan sifat transaksi tersebut atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.
“Pertuduhan tersebut tidak mendedahkan elemen utama kesalahan pengubahan wang haram, termasuk transaksi berkaitan pengubahan wang haram, tingkah laku tertuduh, dan wang yang dirujuk dalam pertuduhan. Selain itu, pertuduhan tersebut juga tidak menunjukkan transaksi seperti yang dimaksudkan di bawah Akta 613, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).
“Kegiatan haram yang dikaitkan dengan pertuduhan itu juga tidak dinyatakan, tetapi hasil daripada kegiatan haram tersebut muncul entah dari mana,” katanya.
Hakim itu menambah bahawa, tanpa elemen-elemen tersebut, pertuduhan hanya menggambarkan perbuatan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, yang pada dasarnya bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Sebahagian daripada pertuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ada pertindihan kerana tarikh dan jumlah yang dinyatakan adalah sama, tetapi kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh tetap berkaitan pengubahan wang haram, yang mana ia mesti berpunca daripada kegiatan haram boleh dikaitkan dengan pengubahan wang haram tersebut.
Dalam pada itu, Rosmah turut menyifatkan ia satu keputusan yang tepat dan keadilan.
“Dari hari pertama lagi, pasukan peguam telah memberitahu, kes saya ini tiada asas. Namun kita tidak tahu. Kita tidak sepatutnya bermain-main dengan keadilan,” ujarnya.
Hakim Muniandy berkata walaupun terdapat pendapatan yang tidak didedahkan kepada LHDN, mesti ada transaksi yang menunjukkan penglibatan tertuduh dengan pendapatan yang tidak didedahkan tersebut untuk diklasifikasikan sebagai pengubahan wang haram.
“Kegagalan mengemukakan borang cukai pendapatan tertakluk di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP). Kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 112 ACP hanya boleh dikenakan sekiranya semua saluran yang tersedia di bawah ACP telah digunakan, namun perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini.
“Ini termasuk penilaian cukai pendapatan yang mesti dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Cukai Pendapatan, diikuti dengan proses rayuan yang tersedia kepada pembayar cukai di bawah Seksyen 99 hingga 102 ACP atau Bahagian VI ACP,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penentuan akhir terhadap jumlah cukai yang perlu dibayar akan dibuat oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan selepas keputusan itu, pembayar cukai mempunyai pilihan untuk memohon semakan kehakiman.
Dalam kesimpulan penghakimannya, Hakim Muniandy menyatakan bahawa berdasarkan penemuan mahkamah, beliau meluluskan permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan. – 19 Disember, 2024