PAS tegur Bersatu ‘bincang dahulu sebelum lantik pengganti Samsuri’ kata Tuan Ibrahim

Meskipun Perlembagaan PN memberi kuasa kepada pengerusi namun PAS berharap perbincangan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Soal siapa pengganti Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang meletak jawatan sebagai bendahari agung Perikatan Nasional (PN) akan diputuskan pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Scoop berharap perbincangan bersama dapat dilakukan sebelum pelantikan baharu dibuat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada jawatan itu bakal diisi pemimpin PAS lain, namun kebiasaannya ia akan kekal kepada parti yang menjawat sebelum itu. 

“Soal pengganti akan diputuskan oleh pengerusi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN nanti.

“(Siapa yang akan dilantik) itu bergantung kepada pengerusi, biasanya kekal kepada parti yang menjawat sebelum itu. 

“Perlembagaan PN memberi kuasa kepada pengerusi, kita harap ianya dibincang bersama sebelum perlantikan dibuat,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebelum ini  mengunci mulut mengenai perletakan jawatan sebagai bendahari agung PN.

Keputusan Samsuri itu turut mengejutkan pemimpin-pemimpin PAS lain yang menyifatkan ia berlaku di luar pengetahuan parti.

Malah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menyifatkan tindakan mengejut Naib Presiden PAS itu sebagai satu perkara serius dan perkara berkenaan tidak pernah dibawa untuk perbincangan dengan kepimpinan PAS sebelum ini.

Hubungan PAS dan Bersatu sebelum ini sedikit tegang susulan kontroversi mengenai calon yang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri daripada gabungan PN.

Ia berikutan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan Muhyiddin sebagai calon tepat bagi jawatan itu, namun disanggah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang berpandangan calon daripada parti Islam itu lebih layak.

Polemik berhubung jawatan itu berterusan selepas Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.

Sementara itu, Hashim Jasin berharap kepimpinan PN dapat membuat keputusan secara ‘bertimbang rasa’ dan mengambil kira kududukan rakan komponen dalam gabungan PN.

“Memang kuasa di bawah Pengerusi PN (Muhyiddin) untuk tentukan barisan kepimpinan PN.

“Namun pada masa sama kena timbang rasa, buat pertimbangan sebaiknya dan lihat juga kemampuan PAS yang mentadbir empat negeri selain mempunyai banyak kerusi.

“Sebab itu PAS mahu supaya rundingan dibuat terlebih dahulu,” katanya. – 19 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related