Proton e.MAS 7 jadi kenderaan rasmi Asean 2025: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran kenderaan EV pertama negara hari ini

6:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Model sulung jenama kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia Proton e.MAS 7 akan menjadi kenderaan rasmi Asean 2025, yang dipengerusikan Malaysia tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran kenderaan EV pertama negara itu hari ini.

“Untuk Asean tahun depan, e.MAS 7 adalah kenderaan rasmi untuk Asean tahun depan.
Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu.

“Setinggi kesyukuran kerana kita catat sejarah gemilang bukan sahaja angkat martabat Proton dan Geely tapi imej keupayaan negara terutama rakyat Malaysia dalam menghasilkan kejayaan ini,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua pegawai eksekutif Proton Dr Li Chunrong dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Geely Auto, Jerry Gan.

Proton e.MAS 7 sebelum ini membuat penampilan sulungnya sebagai sebahagian daripada perarakan Hari Kebangsaan 2024, bersama model lain yang mencerminkan evolusi Proton sebagai pembuat kereta nasional sepanjang sejarah 41 tahunnya.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadi contoh di rantau ini, bukan sahaja dengan mempamerkan kebolehan mengeluarkan kereta tetapi juga melalui pembangunan EV.

Beliau berkata, Proton, sebagai pengeluar kereta nasional, harus memanfaatkan peranannya dalam industri automotif tempatan dan projek EV.

“Saya juga gembira melihat bahawa, dalam masa terdekat, kereta ini akan dibina di Malaysia..di Tanjung Malim, (yang) membantu meningkatkan vendor Malaysia melalui pemindahan teknologi dan kemahiran baharu yang berkaitan dengan EV,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ia juga menjadi tanggungjawab syarikat yang beroperasi dalam industri automotif negara bukan sahaja untuk menjual kenderaan, tetapi juga untuk mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan dengan mewujudkan ekosistem holistik.

“Perana kerajaan, sebagai contoh, adalah untuk memberikan nasihat, dasar mesra industri, dan insentif.

“Sudah tentu, ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan industri, tetapi yang lebih penting, ia memastikan kami menyediakan infrastruktur yang mencukupi, seperti lapangan terbang, pelabuhan dan lebuh raya, elemen yang membentuk sebahagian daripada ekosistem,” katanya.

Anwar turut mengakui cabaran bagi pihak industri dan kerajaan terletak pada bahagian penawaran.

“Oleh itu, kita mesti memastikan kita mempunyai kapasiti dan dasar yang jelas untuk menggalakkan pengeluaran tempatan dan menyokong industri dan vendor tempatan, termasuk Bumiputera,” katanya.

Selain itu Perdana Menteri berkata, lebih 75% tenaga yang digunakan di Asia berasal daripada hidrokarbon dan ia diunjurkan meningkat dua kali ganda menjelang 2030.

“Kini kita mesti mengimbangi permintaan dengan keselamatan, kemampuan dan kemampanan.

“Di bawah inisiatif peralihan yang bertanggungjawab, Malaysia meningkatkan daya saingnya dengan mengurangkan pergantungan bahan api fosil kami dan memupuk pertumbuhan dalam mobiliti hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan tenaga.

“Unjuran kami menunjukkan ini boleh menghasilkan peluang pelaburan sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050 dan sumbangan tambahan RM220 bilion kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan menjana lebih 300,000 peluang pekerjaan,” katanya. – 16 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related