JKPK Kesihatan syor pilihan bayaran ‘co-payment’ tangani kenaikan harga insurans

Itu antara enam syor dikemukan JKPK Kesihatan Parlimen hari ini selepas sesi libat urus dengan pihak berkaitan 10 Disember lalu

3:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkenalkan pendekatan pilihan bayaran co-payment dalam menangani isu kenaikan harga insurans dan takaful.

Itu antara enam syor dikemukan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen hari ini selepas sesi libat urus dengan pihak berkaitan 10 Disember lalu.

Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, ia juga bagi meneruskan komitmen untuk membantu kerajaan memperkukuhkan sistem kesihatan negara.

“Kerajaan perlu meneliti semula dasar-dasar sedia ada dengan memperkenalkan pendekatan seperti pilihan bayaran co-payment.

“Melalui model ini, kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dengan pemegang polisi serta peserta takaful.

“Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

“Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, syor seterusnya ialah kerajaan perlu merangka mekanisme yang lebih menyeluruh untuk mengawal harga perkhidmatan kesihatan.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk memastikan struktur harga yang lebih telus dan adil, sekali gus mengelakkan beban kewangan tidak wajar kepada pesakit merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur seterusnya membolehkan pengurusan kewangan serta pembayaran yang lebih efisien.

“DRG akan menjadi pemangkin kepada kecekapan sistem kesihatan negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga perlu memperhebatkan usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif Rakan KKM.

“Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara,” katanya.

Syor seterusnya ialah menggesa KKM mempercepatkan usaha untuk menubuhkan Dana Kesihatan Negara bagi memastikan pembiayaan kesihatan negara terjaga.

“Akhir sekali, kerajaan perlu merancang pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks.

“Langkah ini termasuklah penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan yang lebih moden,” katanya.

Beliau berkata, JKPK Kesihatan yakin bahawa syor-syor ini mampu menangani cabaran kesihatan semasa dan akan datang.

“Usaha ini bukan sekadar meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, tetapi juga menjadikannya lebih inklusif, mesra pengguna dan mapan,” katanya – 11 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related