KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menyokong penuh tindakan Australia yang menguatkuasakan larangan terhadap bawah umur 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
Beliau senada dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bahawa platform media sosial menjadi sangat berkuasa sehinggakan sesiapa sahaja boleh menghantar mesej.

“Satu-satunya cara untuk mengelakkannya ialah lima pemain besar industri, pemilik platform seperti Meta, Instagram, TikTok …..dan di situlah saya menyokong penuh tindakan Australia terhadap larangan bawah umur 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
“Pada pandangan saya itu adalah langkah pertama, akan ada lebih banyak lagi akan datang, undang-undang yang sudah lama tidak lagi boleh melindungi kita,’’ katanya.
James dan Zaki menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama, baru-baru ini.
Trick Lama diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.
Pada November lalu, penggubal undang-undang di Australia meluluskan peraturan melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, iaitu satu tindakan paling tegas di dunia.
Undang-undang yang diluluskan oleh Senat Australia itu turut mencadangkan denda berat sehingga AU$50 juta (AS$32 juta) bagi platform yang gagal mematuhi peraturan itu.
Sementara Malaysia pula bakal melaksanakan pelesenan platform media sosial mulai Januari 2025 bagi mengatasi masalah dalam internet khusus melibatkan buli siber dan jenayah dalam talian.
Ogos lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Zaki pula memberitahu, pelesenan media sosial yang akan dikuatkuasakan itu wajar memastikan penggunaan budi bicara dalam menangani sesuatu isu berbangkit.
Menurutnya, perundangan atau kawal selia yang dibuat juga perlu memastikan bila dan bagaimana menangani penggantungan lesen operasi sesuatu platform.
“Seperti semua pelesenan, apa jua pelesenan, pada akhirnya ia bergantung bagaimana anda menggunakan budi bicara dalam menangani isu, (atau) bila dan bagaimana untuk berhenti menggantung lesen mereka (platform media).
“Jika disalahguna (media sosial), itulah keburukan yang anda semua lalui. Bila ia akan berhenti? pada akhirnya orang awam yang harus memutuskannya.
“Mengambil contoh Uber, saya nyatakan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa adalah haram untuk membenarkan Uber kerana mereka beroperasi dengan kenderaan yang tidak mempunyai lesen dan tidak dilindungi insurans.
“Lihat apa berlaku sekarang (kepada Uber), kuasa orang ramai begitu kuat sehingga undang-undang boleh dibuang ke dalam tong sampah, akhirnya suara rakyat adalah yang paling penting,” katanya. – 11 Disember, 2024