MB Kedah bebas satu tuduhan menghasut berkait Sultan Selangor

Bagi pertuduhan kedua, dakwaan menghasut berkait Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Muhammad Sanusi kekal dibicarakan bermula 24 hingga 28 Februari 2025  

1:01 PM MYT

 

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada satu pertuduhan menghasut yang berkait dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan pertama itu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dan menarik balik pertuduhan tersebut.

“Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan ingin menarik balik dan tidak meneruskan pendakwaan dan mohon untuk melepas tanpa bebas (DNAA),” kata Masri.

Aslam kemudiannya memutuskan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama selepas membenarkan permohonan peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi agar anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun bagi pertuduhan kedua iaitu dakwaan menghasut berkait Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Muhammad Sanusi kekal dibicarakan atas pertuduhan itu yang ditetapkan bermula 24 hingga 28 Februari tahun hadapan.  

“Untuk pertuduhan pertama, tertuduh dalam kes ini dilepas dan dibebaskan manakala pertuduhan kedua dibicarakan pada 24 hingga 28 Feb 2025,” katanya.

Terdahulu, Awang Armadajaya membantah permohonan pendakwaan agar Muhammad Sanusi dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Dalam satu doktrin…sesuatu perkara tidak boleh tergantung ke atas seseorang tanpa satu penyelesaian yang muktamad. Jadi atas dasar itu dan memandangkan bahawa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes, saya mohon agar anak guam dilepas dan dibebas (untuk pertuduhan pertama).

“Bagi pertuduhan kedua saya mohon tarikh bicara supaya kita boleh menyelesaikan perkara ini dan keterangan boleh dikemukakan serta (kita boleh) melakukan yang perlu sebagai pasukan pembelaan,” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, Awang Armadajaya memohon pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik selepas Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah itu.

Peguam pemerhati Datuk Seri Salehuddin Saidin mewakili pihak Sultan Selangor mengesahkan jawapan bertulis daripada Sultan Selangor yang berkenan memberikan pengampunan kepada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office pada 26 Sept lepas memaklumkan baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun dan maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai 2023.

Mengikut kedua-dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika ditemui di pekarangan mahkamah mengucapkan rasa syukur dengan keputusan itu manakala Awang Armadajaya mewakili pasukan pembelaan dan anak guamnya menjunjung kasih terhadap Sultan Selangor atas perkenan baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun serta maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu. – 10 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related