Mahkamah dengar rayuan berhubung Titah Addendum pada 6 Januari

Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis

8:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR  —  Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum. 

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.

“Ini memandangkan rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini. 

Rayuan Najib adalah berkaitan cabarannya terhadap Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.

Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan beliau kemudian merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Najib, 71, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau namun dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022. – 9 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related