KUALA LUMPUR — Siasatan terhadap Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) masih berjalan, kata Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Ketika mengesahkan siasatan itu, Azam berkata kenyataan terkini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melibatkan keterangan seorang pegawai penyiasat daripada agensi tersebut mungkin merujuk kepada salah satu fail sahaja.
“Saya tidak tahu angle apa yang dimaksudkan oleh pegawai yang mengatakan siasatan HRD Corp selesai, sebenarnya kami membuka beberapa fail siasatan berkaitan HRD Corp, semua siasatan masih berjalan.
“Dan saya sudah arahkan pegawai saya untuk maklumkan kepada PAC bahawa mungkin apa yang dimaksudkan oleh seorang pegawai itu mengenai satu fail.
“Fail masih dalam penyiasatan dan belum disemak oleh Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Kelana Jaya, hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan siasatan SPRM mendapati tiada kesalahan dikesan dalam pengurusan HRD Corp di bawah Akta SPRM 2009.
Dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, ia berdasarkan kenyataan oleh pegawai siasatan SPRM, Mohd Fuad Sedet dalam transkrip pada sidang inkuiri oleh PAC di Parlimen mengenai HRD Corp pada November lalu.
“Kami ada buka kertas siasatan. Daripada kertas siasatan tersebut, tiada kesalahan di bawah Akta SPRM yang didapati. Daripada kertas siasatan tersebut, kami panjangkan kepada Bahagian Pemeriksaan dan Tatakelola (BPT),’’ kata Fuad.
Beliau menjawab soalan daripada pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanyakan perkembangan siasatan kes berkenaan dalam inkuiri terbabit.
Seorang lagi pegawai SPRM, Zulhairy Zaidel dalam transkrip ketika inkuiri itu pula memberitahu tiga kertas penyiasatan tata kelola telah dibuka.
“Saya Zulhairy bin Zaidel wakil Bahagian Penyiasatan Tatakelola. Berhubung dengan HRD Corp ini, di pihak kami, kami dah buka tiga kertas penyiasatan tata kelola on tiga different issues (isu berbeza). So, insya-Allah, mungkin pada Disember kita akan adakan pembentangan penambahbaikan tata kelola,’’ katanya.
Pembentangan penambahbaikan tata kelola itu kata Zulhairy, adalah untuk Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp.
Julai lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 susulan beberapa keputusan diambil agensi itu yang didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Menerusi jawapan bertulis Kementerian Sumber Manusia kepada Dewan Rakyat sebelum ini, ia memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahul Hameed Shaik Dawood mengambil cuti secara sukarela bermula pada 19 Julai hingga 18 Ogos 2024.
Ia bagi memberi ruang kepada siasatan yang dijalankan oleh SPRM. – 9 Disember, 2024