KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membawa cadangan mengembalikan nama sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gamuda Cove kepada nama asal iaitu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ke mesyuarat Kabinet.
Menurut Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), cadangan yang dikemukakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong itu tidak membabitkan isu perkauman kerana ia adalah nama sekolah yang diluluskan pada 2017.
“Ini bukan membabitkan soal perkauman, ini soal di mana ketika itu nama itu telah dipersetujui.
“Insya-Allah, saya sendiri akan membawanya ke Kabinet,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN di sini hari ini.
Ka Siong menerusi ucapannya pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN itu berkata, nama pengasas MCA iaitu Tun Omar telah diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Okt 2017.
Bagaimanapun ia digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Disember lalu.
Menurut Ka Siong, Tun Omar adalah tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan selain antara Menteri dalam Kabinet pertama.
“Tun Omar itu besar jasanya kepada negara kita… atas nama keadilan, kita patut berikan dia keadilan sejagat, takkan kita mahu tarik balik?.. dia sudah meninggal dunia pada 2010… untuk mengenang jasa veteran, kita jangan lupa pada sejarah,” katanya. – 7 Disember, 2024