KUALA LUMPUR — Pegawai khas kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Disember ini kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan wang kira-kira RM300,000 membabitkan pembelian pedati emas.
Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin membenarkan permohonan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang terhadap suspek yang bergelar Datuk itu di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 70-an yang juga bekas pengarah eksekutif sebuah agensi membabitkan institusi keagamaan di negeri itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2019.
“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini bersama bekas Timbalan Ketua Menteri terdahulu merangkap bekas pengerusi agensi yang sama, telah memperoleh wang lebih RM300,000 daripada akaun peruntukan khas agensi terbabit untuk diri mereka sendiri.
“Wang berkenaan membabitkan pembelian pedati emas daripada sebuah syarikat di luar negara yang mana kedua-duanya mempunyai kepentingan di syarikat itu.
“Selain itu, bekas Timbalan Ketua Menteri berkenaan juga dipercayai turut menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pemberian bantuan perubatan pada tahun 2020 sebanyak RM50,000 kepada individu yang dipercayai sekutunya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap pegawai khas kepada Timbalan Ketua Menteri terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua individu yang disiasat itu kini dihalang daripada keluar negara sehingga siasatan selesai. – 5 Disember, 2024