Usahawan Singapura ditangkap di Johor selepas 19 tahun hidup sebagai pelarian

Ng Teck Lee dan isteri, Thor Chwee Hwa melarikan diri dari Singapura pada 2015 ketika siasatan dimulakan oleh CPIB

1:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas 19 tahun hidup dalam buruan, akhirnya usahawan Singapura, Ng Teck Lee dan isteri, Thor Chwee Hwa, yang terlibat dalam kes penyelewengan dana berjumlah SGD$72 juta (RM238.9 juta) ditahan di Johor Bahru, semalam.

Lee adalah bekas ketua pegawai eksekutif dan presiden syarikat Citiraya Industries. Syarikat berkenaan kini dilaporkan telah gulung tikar.

Citiraya terlibat dalam perniagaan kitar semula dan mendapatkan semula logam berharga daripada sisa elektronik, seperti cip komputer terpakai.

Menurut laman web Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura, pasangan itu ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan diserahkan kepada CIPB pada hari yang sama.

“Kedua-duanya melarikan diri dari Singapura pada 2005 ketika CPIB mula menyiasat kes tersebut.

“Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengesan kedudukan Lee dalam kaitan dengan siasatan CIPB termasuk meluaskan senarai larangan Imigresen, polis gazet, waran tangkap Singapura dan waran tangkap menerusi Interpol,’’ kata kenyataan itu.

Pasangan itu telah didakwa di mahkamah hari ini dengan Lee dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, Bab 224, kerana melakukan pecah amanah iaitu sebagai pekerja dengan secara tidak jujur menyalahgunakan sisa elektronik dengan pelbagai syarikat yang diamanahkan kepadanya untuk kegunaan sendiri.

Lee didakwa mengarahkan beberapa pekerjanya untuk tidak menghancurkan sisa elektronik tersebut sebaliknya membungkus semula dan mengeksportnya.

Sementara isterinya, Hwa pula didakwa di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah-Jenayah Berat Lain.

Hwa didakwa mempunyai perjanjian dengan Lee untuk membuka akaun cawangan Credit Suisse Hong Kong atas namanya, yang mana ia mempunyai alasan munasabah untuk percaya bahawa akaun tersebut akan digunakan untuk menyimpan hasil daripada tindakan jenayah suaminya.

Siasatan kes berkenaan juga masih diteruskan.

Sementara itu, Pengarah Penyiasatan CIPB, Vincent Lim berkata, tangkapan terhadap pelarian dari Singapura yang terlibat dalam kes rasuah selepas hampir dua dekad itu membuktikan hubungan rapat antara CPIB dan SPRM.

“Tiada toleransi dan tiada tempat selamat bagi mereka yang memilih untuk melanggar undang-undang kami dengan terlibat dalam aktiviti rasuah atau jenayah.

“CPIB tidak akan mengenal lelah untuk menjejaki mereka di mana sahaja mereka bersembunyi dan membawa mereka ke muka keadilan di Singapura,’’ katanya. – 4 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related