KUALA LUMPUR – Tafsiran perundangan yang lebih jelas membabitkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia 2024 adalah perlu sekiranya pengiktirafan diberikan kepada satira dan parodi.
Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zukiflee Anwar Haque ketika dihubungi Scoop berkata, pindaan itu satu perkara yang tepat namun huraian lebih lanjut diperlukan membabitkan tafsiran undang-undang berkaitan kandungan dalam talian.
“Untuk mengulas lanjut kita perlu melihat keseluruhan RUU ini, namun setakat yang diketahui kini ia hanya tafsiran secara umum.
“Jika pindaan pada RUU ini dikata akan iktiraf satira dan parodi, kita boleh kata betullah (tindakan pindaan) itu.
“Namun (setakat ini) tiada yang lebih spesifik lagi mengenai tafsiran itu selain turut belum dibahas di Parlimen, jadi itu perkara yang kita perlu lihat.
“Sebab sekarang zaman multimedia, orang buat macam-macam benda, contoh yang guna kecerdasan buatan (AI) atau (salahguna), jadi bagaimana tafsiran undang-undangnya, sebab itu kena lihat keseluruhan RUU ini dahulu,” katanya kepada Scoop.
Zunar berkata, beliau dan seorang lagi kartunis, Fahmi Reza selalunya dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.
Pada 2016, Zunar ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen 41C Akta Hasutan atas kesalahan mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana
Zunar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang dibentangkan di Parlimen kelmarin membawa perubahan besar kepada tafsiran undang-undang berkaitan kandungan dalam talian, termasuk pengiktirafan terhadap satira dan parodi.
Syahredzan berkata, pindaan itu menunjukkan langkah positif kerajaan dalam melindungi ekspresi kreatif dan kritikan.
Beliau merujuk kepada Fasal 91 RUU tersebut yang memperkenalkan ‘huraian’ baharu untuk memperjelaskan elemen seperti lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya.
“Huraian itu menyatakan bahawa kandungan berbentuk satira atau parodi atau yang jelas bersifat fiksyen tidak boleh dianggap sebagai palsu dan jika diluluskan, ini akan memberi perlindungan lebih baik kepada seni dan kritikan,” katanya.
Syahredzan menegaskan, pengiktirafan terhadap satira dan parodi adalah langkah penting untuk memastikan kebebasan bersuara terus terjamin di negara ini.
RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dijangka dibahas secara terperinci di Parlimen dalam masa terdekat. – 4 Disember, 2024