KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa membuat kajian lebih teliti terutama membabitkan perubahan cuaca dalam menangani isu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan pada musim banjir.
Bercakap kepada Scoop, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, libat urus boleh dilakukan KPM bersama agensi lain yang mempunyai kepakaran untuk melihat dan mengkaji data dan trend perubahan cuaca.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk dilakukan KPM bagi mengelak berhadapan isu sama setiap kali tiba musim tengkujuh atau monsun timur laut.
“KPM mesti meneliti dan mengkaji trend hal berkaitan cuaca ini dengan kementerian berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Banjir besar yang ekstrem berlaku mengikut kitarannya 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun, ini boleh diramal.
“Jika ramalan dapati banjir ekstrem akan berlaku dalam tahun itu, kita boleh buat persediaan lebih awal, lihat data yang tersedia, kita boleh anjak tarikh peperiksaan lebih awal.
“Jadi maknanya memang perlu ada libat urus dengan pakar-pakar, agensi dan pihak lain supaya dapat diputuskan masa atau tarikh yang bersesuaian untuk menjalankan peperiksaan,” katanya hari ini.
Mohamad Ali berkata, beliau pada dasarnya mengharapkan perkara ini diteliti sehalus-halusnya sebelum KPM membuat sebarang keputusan lanjut termasuk menukar tarikh peperiksaan di luar musim tengkujuh.
“Kita kena pastikan betul-betul tiada pelajar yang tercicir serta semua dapat menduduki peperiksaan.
“Jika KPM tetap mahu meneruskan peperiksaan di kawasan terjejas banjir kena juga pastikan keadilan kepada pelajar yang terjejas.
“Sediakan keperluan dan pastikan mereka ini siap siaga dan tersedia dengan keperluan untuk peperiksaan, pakaian uniform dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya pelajar sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), KPM perlu juga memastikan diwujud atau disediakan ruang tertentu di PPS untuk keselesaan mereka mengulangkaji pelajaran.
“Boleh juga ditempatkan guru di PPS untuk motivasi dan sokongan kepada pelajar untuk terus ulangkaji termasuk secara berkumpulan.
“Yang penting pelajar duduki peperiksaan dengan yakin dan beri sokongan motivasi supaya tak terjejas mental dan prestasi mereka,” katanya.
Terdahulu, ramai pihak menggesa KPM mempertimbangkan penangguhan peperiksaan SPM susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda negara ketika ini.
Permintaan itu disuarakan pelbagai pihak yang bimbang kesan buruk terhadap calon SPM yang terjejas terutamanya di kawasan Pantai Timur, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Namun, KPM hari ini memutuskan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak perlu ditangguh atau ditunda kerana kementerian itu mempunyai mekanisme lengkap menangani isu pelajar terkesan banjir pada musim monsun timur laut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata, melalui prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung, KPM yakin isu pelajar menduduki peperiksaan ketika banjir dapat diuruskan dengan baik.
Menterinya, Fadhlina Sidek pula berkata, KPM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah berusaha memastikan tiada calon yang tercicir untuk menduduki ujian lisan SPM hari ini.
Beliau berkata, keputusan sukar terpaksa diambil setelah mengambilkira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan.
Katanya, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan peperiksaan SPM dilaksanakan di luar musim tengkujuh. – 2 Disember 2024