KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin ke-17 terkaya di dunia adalah tidak masuk akal malah jika dibandingkan dengan pemimpin lain di Malaysia sendiri, nilai aset Perdana Menteri bukanlah antara yang tertinggi.
Setiausaha politik kepada Anwar, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, penyebaran tuduhan tidak berasas ini adalah contoh klasik fitnah yang boleh merosakkan kredibiliti individu tanpa bukti yang sah dan dalam Islam ia merupakan dosa yang besar.
“Namun, baru-baru ini, data yang sama disalahgunakan untuk menyebarkan tuduhan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah “pemimpin ke-17 terkaya di dunia”, dengan gambaran seolah-olah hartanya diperoleh secara tidak sah,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dari Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dilaporkan menuduh Perdana Menteri sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia dengan memetik sumber tidak sahih iaitu ‘Love Money’.
Bagaimanapun Mohd Yusni memohon maaf dan menarik balik kenyataannya selepas Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) membangkitkan Peraturan Mesyuarat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang supaya beliau menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan ketika perbahasan pada Selasa lalu yang menggunakan sumber meragui bagi kedudukan kekayaan yang dimiliki oleh Perdana Menteri.
Berdasarkan laporan portal Love Money, pemimpin paling kaya di dunia adalah Vladimir Putin dari Rusia dengan kekayaan mencecah AS$200 bilion, diikuti Kim Jong-un (Korea Utara, AS$5 bilion), Xi Jinping (China, AS$1.5 bilion), Bashar al-Assad (Syria, AS$1.5 bilion) dan Teodoro Obiang Nguema Mbasogo (Equatorial Guinea, AS$600 juta).
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong turut berada dalam senarai, di kedudukan 15 sebanyak AS$5 juta, diikuti Bongbong Marcos (Filipina) di tangga ke 16 dengan kekayaan AS$3.6 juta.
Menurut laporan tersebut, Anwar didakwa berada di kedudukan ke-17 dengan kekayaan sehingga AS$2.4 juta (RM11.3 juta).
Pada 7 Mac 2019, Perdana Menteri pernah mengisytihar harta bernilai RM10.7 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang diminta oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Pengisytiharan itu, kata Farhan tidak mendatangkan sebarang isu pada waktu itu kerana ia disertai dengan penjelasan terperinci mengenai bagaimana aset tersebut diperoleh.
“Sebahagian besar nilai asetnya adalah berdasarkan anggaran semasa hartanah miliknya, iaitu rumah di Bukit Segambut bernilai RM9.5 juta yang pada asalnya dibeli pada harga RM4.5 juta hasil daripada penjualan rumah di Bukit Damansara pada 2005.
“Selain itu tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang, yang dibeli pada 1974 dengan harga RM7,000 dan kini dianggarkan bernilai RM420,000,’’ katanya yang memberitahu aset itu diperoleh secara sah dan boleh dibuktikan melalui dokumen jual beli dan rekod kewangan yang sah.
“Pada masa itu, perisytiharan harta Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak menjadi isu kerana ramai anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH mempunyai nilai aset yang jauh lebih tinggi,’’ katanya.
Beliau turut menyenaraikan Ahli Parlimen dan Kabinet yang mempunyai aset lebih tinggi dari Anwar ketika itu iaitu Datuk Dr R Santhara Kumar (Segamat) RM132.1 juta; Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) RM77.0 juta; Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) RM32.3 juta; Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun): RM25.1 juta; Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (Alor Gajah) RM23 juta, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin: RM15.3 juta dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh): RM14.3 juta.
Mengulas lanjut, Farhan berkata, perisytiharan harta oleh anggota kerajaan PH itu turut mendapat pujian rakyat kerana ia memperlihatkan komitmen kepada ketelusan dan integriti, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh kebanyakan pemimpin pembangkang.
“Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang giat berusaha menjalin hubungan baik dengan kerajaan-kerajaan negeri, termasuk yang berada di bawah pentadbiran parti pembangkang.
“Ini adalah langkah bijak untuk memastikan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Namun, usaha sebegini boleh terganggu jika terdapat unsur-unsur fitnah dan politik tidak matang yang cuba memecahbelahkan perpaduan. Kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri memerlukan kepercayaan dan fitnah hanya akan merosakkan asas kepercayaan ini,’’ katanya. – 1 Disember, 2024