Muhyiddin calon PM: Sesiapa pun boleh beri pandangan, keputusan akhir oleh pucuk pimpinan, kata Pemuda PAS

Keputusan memilih calon Perdana Menteri daripada PN ni kami (ahli) PAS serahkan kepada strategi politik kepimpinan tertinggi parti, kata Ahmad Azlan

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setiap ahli PAS boleh melontar pandangan masing-masing berhubung siapa yang layak menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) namun keputusan akhir adalah antara kepimpinan tertinggi gabungan itu sendiri.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, ahli PAS sentiasa mendokong keputusan kepimpinan selagi tidak bercanggah dengan syarat dan dasar parti.

“Keputusan memilih calon Perdana Menteri daripada PN ni kami (ahli) PAS serahkan kepada strategi politik kepimpinan tertinggi parti,’’ katanya kepada Scoop.

Baru-baru ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri mewakili PN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perlis menolak cadangan berkenaan dan menegaskan lebih ramai dalam parti berkenaan yang layak memimpin PN.

Hashim menegaskan parti itu lebih layak memimpin adalah satu fakta berasas berdasarkan kepada rekod baik PAS.

Malah Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar turut mendakwa PN mungkin agak gelojoh mengumumkan calon Perdana Menteri gabungan parti memandangkan tiada sebarang perbincangan di mana-mana peringkat untuk PRU akan datang.

Berikutan itu, Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata agenda pemilihan calon Perdana Menteri dalam gabungan PN adalah antara perkara yang akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 9 Disember ini.

Menurut Dominic, ini kerana ia merupakan isu panas dan perlu segera diselesaikan bagi memberikan kemenangan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Gerakan sebelum ini kekal pendirian untuk meletakkan Muhyiddin yang juga pengerusi PN sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu pada pilihan raya akan akan datang.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai ada pihak yang berusaha memujuk parti itu meninggalkan kerajaan bagi membentuk kerajaan baharu, Azlan berkenaan ialah adalah perang ‘minda’ Zahid untuk memburukkan PN.

Menurutnya, dakwaan itu berkemungkinan merupakan rekaan untuk menagih simpati rakyat terhadap BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Selagi mana tiada pengumuman daripada kepimpinan tertinggi parti, saya melihat itu adalah satu perang psikologi Zahid untuk memburukkan PN dan menagih ihsan rakyat kepada BN dan PH.

“(Sebelum ini) keputusan yang Zahid buat dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) pun dia boleh langgar dengan mereka cerita untuk menarik perhatian dan sokongan ahli parti kepada beliau… inikan pula cerita-cerita sebegini,” katanya.

Terdahulu, Zahid mendedahkan wujudnya usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Tanpa mendedahkan pihak terbabit, beliau mendakwa, gabungan itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam kerajaan perpaduan ketika ini. – 29 November, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related