KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dilantik sebagai Bendahari parti berkenaan manakala Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dilantik Ketua Penerangan Bersatu yang baharu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkannya berkata pelantikan itu berkuatkuasa mulai hari ini.
Beliau juga mengesahkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung parti berkenaan bagi sesi 2024 hingga 2027.
“Saya berdoa agar mereka yang dilantik akan menjalankan tugas-tugas yang termaktub di dalam Perlembagaan Bersatu dengan amanah, cekap dan berintegriti.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung; Datuk Mohamed Salleh Bajuri, Bendahari Agung dan Datuk Razali Idris, Ketua Penerangan di atas segala jasa dan khidmat bakti mereka kepada parti,’’ katanya.
Jawatan Setiausaha Agung Bersatu sebelum ini dipegang oleh Hamzah, namun beliau kini merupakan Timbalan Presiden parti berkenaan manakala bekas Bendahari adalah Mohamed Salleh dan Razali merupakan bekas Ketua Penerangan.
Pada pemilihan parti berkenaan Oktober lalu, Razali bertanding jawatan Naib Presiden namun tewas.
Beberapa hari lepas, Azmin mengesahkan menerima jawatan Setiausaha Agung Bersatu selepas ditawarkan jawatan tersebut oleh Muhyiddin pada persidangan khas parti itu yang berlangsung pada Julai lalu.
Sementara Rina menarik diri daripada bertanding pada pemilihan Bersatu pada Oktober lalu dan jawatan Ketua Srikandi dipegang oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Manakala Tun Faisal, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Putrajaya pula menyertai Bersatu pada Januari 2023. – 28 November, 2024