KUALA LUMPUR – Syarikat YTL Communications Sdn Bhd tidak menyiapkan 51 menara telekomunikasi yang diterima di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, YTL menerima 51 menara namun tidak ada satu pun yang beroperasi.
Selain itu, katanya, CelcomDigi menerima 866 menara dan 366 daripadanya masih dalam pelaksanaan, Maxis (134 menara, 96 dalam pelaksanaan), U Mobile (143 menara, 19 dalam pelaksanaan) dan REDTone (191 menara, 45 dalam pelaksanaan).
“Sebelum ini dalam beberapa jawapan (di Parlimen), saya telah nyatakan saya berhasrat memaklumkan telco mana yang telah menerima menara tetapi belum siap.
“YTL yang paling corot, saya minta maaf saya terpaksa sebut di sini, daripada 51 menara yang telah diterima, kesemua 51 tidak siap,’’ katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah Jendela dan sejauh mana tindakan diambil ke atas kontraktor yang gagal melaksanakan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
.
Berikutan itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, bagi menara-menara yang menghadapi kelewatan, tindakan tegas akan dikenakan ke atas kontraktor terlibat.
“Jadi saya minta supaya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti menara yang menghadapi kelewatan dan tindakan tegas diambil ke atas kontraktor terlibat.
“Antara penalti yang boleh dikenakan di bawah Notis Pemberitahuan Penamaan kepada pihak pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh yang ditetapkan adalah liquidated damages, mengambil Performance Bond, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kadar liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk seluruh negara sudah mencapai sebanyak 98.38% setakat 31 Oktober lalu menerusi pelaksanaan Jendela.
Jelasnya, sebanyak 8.88 juta premis telah tersedia dengan capaian gentian optik selain kelajuan jalur lebar mudah alih (median) adalah 105.75 megabit sesaat (Mbps).
“Pelaksanaan projek Jendela Fasa 1 masih lagi dalam pelaksanaan. Setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 1,385 daripada 1,661 menara telah siap dan daripada jumlah tersebut hanya sebanyak 808 menara telah beroperasi,’’ katanya.
Bagi menangani isu capaian internet di kawasan bandar dan luar bandar, Fahmi memberitahu, menerusi Jendela, kerajaan melalui MCMC telah menetapkan sasaran untuk menyediakan 100% liputan internet di kawasan berpenduduk menjelang 2025.
MCMC juga akan menyediakan infrastruktur serta perkhidmatan komunikasi asas melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi kawasan luar bandar serta pedalaman.
Mengulas perkembangan Jendela Fasa 2, Fahmi berkata, ia memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai (fit-for-purpose) serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk membiayai perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi projek.
Mengenai pemasangan peranti Starlink, beliau berkata ia dilaksana kerajaan melalui MCMC pada ketika ini adalah secara Proof of Concept (POC) di lokasi yang terpilih di seluruh negara.
Katanya, ia bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar Starlink sebagai langkah interim untuk menyelesaikan isu-isu ketersambungan yang dihadapi di kawasan- kawasan yang menghadapi masalah liputan termasuk sekolah, universiti dan kawasan terpencil. – 28 November, 202