KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kes kematian seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (Ipta) kini dalam siasatan oleh cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Draja Mataysla (TUDM).
ATM dalam satu kenyataan menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes itu.
Tindakan undang-undang, katanya akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah.
“ATM mengambil maklum berkenaan laporan berita yang disiarkan oleh media atas talian berkenaan dakwaan seorang bapa terhadap kematian anaknya sewaktu melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera di salah sebuah IPTA,’’ katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pihaknya masih menunggu laporan berhubung kejadian berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelatih Palapes Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa mangsa, Muhammad Zaidi Abdul Rahman dalam laporan polis yang dibuatnya mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya, dipaksa melakukan aksi seperti kuda dengan ditunggang jurulatihnya.
Zaidi juga mendakwa anaknya dipaksa melompat seperti kanggaru. Insiden yang didakwa berlaku pada 10 November lalu itu sempat dirakam oleh jurulatih terbabit.
ATM juga menggesa masyarakat memberi ruang bagi pihaknya menjalankan siasatan secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
“Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang dilaksanakan.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,’’ katanya. – 27 November, 2024