Isu papan tanda: Jangan lagi bertolak ansur, tegas Ismail Sabri

Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini , kata Ismail

4:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menguatkuasa undang-undang dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya.

Beliau berkata, ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Justeru, tidak ada pilihan untuk tidak menggunakan Bahasa Persekutuan ini pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Isu mengenai penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda bermula apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Ia susulan tindakan DBKL yang mengeluarkan 20 notis kesalahan dan 10 notis penguatkuasaan kepada pemilik kedai kerana ‘menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan secara berlebihan’ dari Januari hingga 16 Oktober tahun ini.

Pada 18 November lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa kedai-kedai dibenarkan memasang papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu, selepas melawat salah satu pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

DBKL sejak itu telah menjelaskan penguatkuasaan peraturan untuk papan tanda dwibahasa adalah selaras dengan undang-undang dan peraturan mengenai bahasa rasmi negara.

Ini, kata pihak berkuasa tempatan, termasuk Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang antara lain memerlukan semua papan tanda perniagaan dan iklan dalam bahasa kebangsaan.

Walaupun mereka juga boleh memasukkan bahasa lain, perkataan bertulis dalam bahasa kebangsaan mesti diutamakan dan lebih besar daripada perkataan dalam bahasa lain.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong dan menjadikan Thailand sebagai contoh.

“Thailand menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.

“Saya mencadangkan supaya tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini.

“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,’’ katanya. – 27 November, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related