Kenaikan premium insurans: Ahli Parlimen gesa BNM siasat syarikat insurans, jangan lepas tangan

Bank Negara mempunyai tanggungjawab, siasat dahulu, bagi rakyat tahu dan selepas itu buat keputusan, kata Sim

3:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans antara 40% hingga 70% pada tahun depan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM tidak harus melepaskan tangan dengan alasan ini adalah ‘business decision’ oleh syarikat.

“Kami ingin menyeru Bank Negara menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans.

“BNM berkuasa untuk mengawal selia segala keputusan syarikat insurans. BNM tidak harus melepaskan tangan dengan alasan ini adalah business decision oleh syarikat.

“Mereka kata ini adalah free market dengan willing buyer, willing seller. Ini tidak betul.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) boleh melaksanakan siasatan atau kawalan harga terhadap keuntungan melampau ke atas kenaikan 10 sen bagi sebiji telur, kenapa Bank Negara tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh hingga ratus ringgit premium insurans.

“Kenapa pihak berkuasa tidak boleh menyiasat adakah kenaikan caj hospital swasta excessive profiteering? Jadi ini persoalannya. Ini tidak betul, Bank Negara mempunyai tanggungjawab, siasat dahulu, bagi rakyat tahu dan selepas itu buat keputusan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai kenaikan premium insurans yang dijangkakan antara 40 hingga 70% pada tahun hadapan, berdasarkan notis yang dihantar kepada pengguna.

Kenaikan itu dikatakan kerana kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.

Kenaikan itu turut mendapat perhatian daripada Chairman Patient for Patients Safety Malaysia, Manvir Victor yang menggesa kerajaan campur tangan dan memastikan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan premium insurans perubatan tersebut.

Ini kerana, kata Manvir, kenaikan berkenaan tidak berasas dan bakal menyebabkan ramai yang akan menamatkan polisi insurans mereka, sekali gus berpotensi menjadi beban kepada sistem kesihatan awam yang kini sudah pun sesak dan kurang pembiayaan.

Sementara Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata jumlah kenaikan perlu munasabah kepada semua pihak terutama pesakit dan juga pemegang polisi.

Bagaimanapun Dr Kuljit berkata, jika peningkatan premium insurans setara dengan perkhidmatan yang baik maka ia adalah wajar bagi mereka yang memerlukan rawatan.
.
Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, beliau telah membangkitkan kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan dalam sesi perbahasan jawatankuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bahawa beliau akan mengadakan konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai “Value Based Healthcare”. Saya menaruh harapan Menteri boleh berjaya,” katanya.

Namun beliau amat kesal membaca kenyataan Dr Kuljit yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40-70% sebagai ‘tidak sangsi dan berpatutan’.

“Ini amat dikesali, kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

“Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan ada kaitan rapat secara langsung dan tidak langsung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi dan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, caj hospital swasta yang melonjak tinggi sudah menjadi bebanan kepada syarikat insurans dan kini mereka telah ‘passing the cost’ (bebankan kos) kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas.

“Golongan rakyat mencarum insurans kerana mereka hanya mahu perkhidmatan swasta yang lebih baik tetapi munasabah kosnya.

“Dengan kenaikan premium insurans yang naik mendadak, kami mendapati ada pencarum sudah berhenti mencarum dan mereka sekarang terpaksa kembali ke hospital kerajaan.

“Ini secara tidak langsung menambah beban kepada hospital kerajaan dan golongan B40 menjadi mangsa kerana terpaksa menunggu lebih lama.

“Ekosistem kesihatan swasta berkait rapat dengan sistem kesihatan awam yang dibiayai oleh kementerian kesihatan dan kerajaan persekutuan.

“Begitu juga caj hospital swasta yang melambung naik telah menyebabkan kenaikan premium insurans kesihatan, kerana mereka adalah berkait rapat,” katanya. – 27 November, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related