KUALA LUMPUR – Veteran Umno hari ini mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang saranan untuk menukar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pemimpin lebih berwibawa.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub turut mendakwa King Sing sebagai tidak patriotik dan langkah pertukaran itu demi menjaga nama baik negara.
“Adalah amat memalukan negara ini apabila seorang menteri seperti Tiong yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong sempena tahun melawat Malaysia.
“Tetapi (beliau) bercakap disebaliknya seolah-olah Malaysia tidak aman dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tidak ada sebab untuk King Sing meminta maaf kepada pelancong China kerana layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.
“Dakwaan Tiong kononnya dia ditanya oleh pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan.
“Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan tanda atau iklan kepada bahasa pelancong itu.
“Orang yang melawat China bukan sedikit. Tapi papan iklan di pusat beli-belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam bahasa Inggeris,” katanya.
King Sing sebelum ini berkata, penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong,
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, King Sing boleh melontarkan persoalan kepada pelancong berkenaan sama ada pernah melihat berlakunya pergaduhan kaum di negara ini.
“Sebagai menteri, Tiong patut tanya balik, apakah kamu nampak ada pergaduhan kaum di Malaysia. Apakah ada rumah berhala, kuil, kedai arak dan judi yang dirobohkan?
“Sebagai menteri dia boleh jawab mudah bahawa ini soal dasar. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Ia termaktub di dalam perlembagaan,” katanya. – 26 November, 2024