KUALA LUMPUR – Seorang wanita Singapura kini buntu selepas usahanya untuk bersatu kembali dengan anak lelakinya, yang didakwa dilarikan bekas suaminya dan dibawa Malaysia masih belum tercapai sejak bulan Mei lalu.
Wanita itu, Daylin Limonte Alvarez, 36, yang berasal dari Cuba, telah memohon kepada Mahkamah Syariah Johor pada 10 Julai lalu untuk penguatkuasaan perintah kehakiman syariah Singapura, yang memberikan hak penjagaan utama anak lelakinya, Caleb Liang Wei Luqman Limonte, 6 tahun, kepadanya.
Kali terakhir Alvarez melihat Caleb ialah pada 25 Mei lalu apabila bekas suaminya, Luqman Liang Hsien Masoon, warga Singapura membawanya keluar pada hujung minggu.
Luqman bagaimanapun tidak menghantar semula kanak-kanak tersebut seperti yang sepatutnya sebaliknya meninggalkan republik berkenaan ke Malaysia.
Sementara menunggu mahkamah syariah Malaysia membuat keputusan melaksanakan hak penjagaan berkenaan yang diputuskan oleh mahkamah Singapura, Alvarez telah memohon satu lagi permohonan iaitu perintah sementara bagi membolehkannya mendapat hak penjagaan sementara dengan segera ke atas Caleb.
Bagaimanapun, selepas hampir lima bulan berlalu sejak dua permohonan itu dibuat di Johor, tidak banyak kemajuan yang dicapai, menyebabkan ibu berkenaan hidup dalam kebimbangan mengenangkan nasib anaknya.
“Masalahnya ialah bagi setiap permohonan, saya perlu menyerahkan dokumen kepada bekas suami saya namun saya tidak mengetahui di mana dia berada.
“Saya terpaksa memohon perkhidmatan gantian (menyerahkan dokumen menerusi mesej atau emel) dan itu memakan masa yang lama, kata Alvarez kepada Scoop.
Alvarez percaya bekas suami dan anaknya itu kini menetap di sebuah apartment di Johor Bahru.
Menurutnya, Konsulat Singapura di Johor Bahru mengesahkan dengan Jabatan Imigresen Malaysia bahawa Luqman dan Caleb memasuki negara ini melalui pintu masuk Woodlands pada 27 Mei lalu.
“Naib konsul (Singapura) meminta supaya dimaklumkan jika Luqman cuba keluar dari Malaysia, namun memandangkan kami masih belum menerima sebarang notis, saya percaya dia dan Caleb masih di Malaysia.
“Luqman juga tidak menjawab sebarang komunikasi dan nombor telefonnya juga sudah tidak digunakan.
“Rakan-rakannya juga sedang mencarinya menerusi media sosial, bagi pihak saya, tapi dia seolah-olah lenyap (dari semua platform),’’ katanya sambil menambah visa dua beranak itu tamat tempoh pada 27 Jun.
Sehingga 22 November lalu, Alvarez telah membuat dua laporan polis di Johor Bahru, dan mendakwa masih belum ada tindakan sewajarnya memandangkan pihak berkuasa perlu perintah mahkamah bagi memulakan pencarian.
Bahasa juga menjadi halangan untuk berurusan dengan agensi di sini, kata Alvarez.
Subhead – Lawatan mingguan bertukar mimpi ngeri –
Luqman dan Alvarez yang kini bekerja sebagai pegawai pemasaran, berpacaran selama dua tahun sebelum mengikat tali perkahwinan pada 2017. Caleb dilahirkan tahun berikutnya.
Pasangan itu berpisah pada 2019 dan bercerai secara rasmi pada 2021, dengan Mahkamah Syariah Singapura memberikan hak penjagaan bersama ke atas Caleb, sebelum memberikan lebih kuasa kepada Alvarez terhadap anaknya.
“Pada permulaan, Caleb tinggal bersama saya, dan Luqman dengan saya berkongsi penjagaan dari aspek pendidikan, hospitalisasi dan agama.
“Tahun lepas saya telah diberikan kuasa dalam pendidikan dan penjaga pasport (Caleb) memandangkan bapanya sangat tidak munasabah untuk beberapa waktu,’’ kata Alvarez.
Dia menjelaskan walaupun kedua-dua mereka boleh membawa Caleb ke luar negara namun Luqman hanya boleh melakukannya ketika dia bersama anak mereka pada hujung minggu, dan perlu memaklumkan kepada Alvarez mengenai kunjungan ke luar negara itu.
Mimpi ngeru Alvarez bermula apabila Luqman enggan mengembalikan Caleb selepas lawatan dua hari mulai 25 Mei lalu, hingga memaksa Alvarez mendapatkan bantuan polis.
“Polis datang, tapi Luqman enggan menyerahkan Caleb. Kami beredar selepas dia berjanji untuk membawa Caleb ke sekolah pada keesokan harinya, tapi Caleb tiada di sekolah pun,’’ katanya.
Pihak berkuasa Imigresen dan Pintu Masuk Singapura mengesahkan Luqman dan Caleb masuk ke Malaysia, seminggu selepas laporan kehilangan dibuat.
Menyifatkan perkahwinannya sebelum ini sebagai ‘toksik’, Alvarez percaya Luqman tidak akan mencederakan anak mereka namun perkara yang paling buruk yang boleh dilakukan ialah ‘memanupulasi’ Caleb sebagai cara untuk membalas dendam terhadapnya.
Bagaimanapun, dia meluahkan kebimbangan apatah lagi Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Haque 1980 mengenai melarikan anak ke luar negara.
Malaysia tidak menerima pakai konvensyen tersebut, yang merupakan perjanjian multilateral bertujuan memastikan pemulangan kanak-kanak yang diculik secara salah oleh ibu atau bapa ke luar negara dengan cepat, kerana ia mungkin bercanggah dengan undang-undang syariah yang ada.
“Ia mudah (bagi Luqman) untuk menghilang,’’ kata Alvarez.
https://helpfindcaleb.com/
Mereka yang mempunyai maklumat di mana Luqman atau Caleb berada boleh menghubungi polis atau Alvarez menerusi laman web bagi meningkatkan kesedaran mengenai kes ini. – 24 November, 2024