KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung 27% atau RM1.662 juta daripada keseluruhan kos penerbangan pesawat sewaan khas bagi lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, sementara delegasi perniagaan membayar 73% daripada jumlah tersebut atau RM4.5 juta.
“Delegasi perniagaan yang telah menyertai lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara adalah sepenuhnya dibiayai oleh syarikat-syarikat itu sendiri.
“Jumlah kos penerbangan sewaan khas pesawat MAS jenis Airbus A350 ini sebanyak RM6.162 juta, yang mana kos yang telah dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi berjumlah RM1.662 juta bersamaan 27% daripada kos keseluruhan.
“Manakala delegasi perniagaan membayar 73% daripada jumlah tersebut atau RM4.5 juta.
“Penting saya jelaskan di sini, kerajaan membayar untuk penerbangan Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat tapi ditanggung oleh kerajaan.
“Yang berlaku adalah, dengan sewaan khas pesawat ini, pihak kerajaan mendapati ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang jumlah kosnya boleh mencecah RM2.5 juta, maksud ada penjimatan lebih RM900,000,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bagi urusan penginapan, makanan dan pengangkutan di pihak kerajaan pula, ia diuruskan sama ada oleh kerajaan atau penganjur acara seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
“Jadi tidak timbul isu penginapan, makan minum (dan) penerbangan, ia tidak ditanggung oleh syarikat. Syarikat-syarikat ini mempunyai niat bagi tujuan pelaburan di negara itu.
“ (Ia) Mencerminkan minat kukuh syarikat-syarikat Malaysia terhadap peluang perdagangan dan pelaburan di negara-negara dan rantau yang dilawati
“Seperti Petronas yang mempunyai pelaburan sehingga AS$6 bilion di Brazil, maka mereka turut serta dalam rombongan tapi membayar tiket sendiri.
“Jadi dengan strategi sewaan khas ini ada penjimatan di pihak kerajaan hampir RM900,000,” katanya.
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat baru-baru ini menjelaskan kos sekitar 70 hingga 80% yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasmi ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang turut mengikut lawatan itu.
Perdana Menteri berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.
Sebelum ini, Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga 19 November.
Lawatan selama 11 hari ke empat negara itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.
Dalam rangka lawatan itu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) APEC ke-31 di Peru dan G20 di Brazil.
Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran bekas naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam acara rasmi Perdana Menteri di luar negara, Fahmi berkata:
“Saya tidak menyertai lawatan itu tapi saya meneliti fitnah dan tohmahan jahat pelbagai pihak
“Saya sudah mendapat pengesahan daripada Ketua Setiausaha Akhbar Perdana Menteri bahawa (kehadiran) Nurul Izzah dan Pengerusi ISIS Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, kedua-dua mereka telah dijemput oleh penganjur.
“Nurul Izzah dijemput antara lain kerana isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mengikuti rombongan ini
“Beliau dijemput sebagai pengarah Seri (Social & Economic Research Initiative) dan jemputan dipanjangkan oleh penganjur,” katanya. – 22 November, 2024