KUALA LUMPUR — Lawatan terbaru kerajaan Taliban ke Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha Afghanistan untuk mencapai standard pendidikan antarabangsa.
Sejak mengambil alih Afghanistan pada 2021, Taliban berdepan dengan kritikan terhadap dasar pendidikan yang mundur terutama larangan ke atas kanak-kanak perempuan dan wanita daripada mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi.
Bagaimanapun seorang pegawai Taliban memberitahu Scoop bahawa dakwaan itu adalah propaganda Barat, dan lawatan ke Malaysia dari 11 hingga 17 November lalu bertujuan untuk memahami sistem pendidikan negara yang cemerlang.
Lawatan tersebut, yang diuruskan oleh NGO, telah dirancang hampir setahun lalu.
“Selama berdekad, Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan rakyat Afghan.
“Pada masa lalu, ketika kita bergelut menentang Soviet Union, Malaysia menyokong kita.
“Jadi, apabila kita mendapat tahu Kementerian Pendidikan Malaysia bersedia untuk bertemu, kami menerima jemputan tersebut, kata Irshadulhaq ketika dihubungi.
Delegasi berkenaan disertai beberapa pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan Afghanistan termasuk pengarah-pengarah jabatan pendidikanya.
Mereka melawat institusi pendidikan di Malaysia, termasuk Kolej Tunku Kursiah di Seremban.
Ditanya sama ada lawatan ke kolej berkenaan bertujuan untuk melibatkan kaum wanita Afghanistan dalam sektor pendidikan, Irshadulhaq menjelaskan pentadbiran Taliban tidak pernah menghalang gadis-gadis di negara itu daripada menuntut di sekolah.
Beliau berkata, gadis-gadis Afghanistan dibenarkan mengikuti pengajian di madrasah dari tahun satu hingga 12 dan terdapat institusi latihan kepada mereka yang ingin terlibat dalam bidang perubatan.
“Menurut statistik, lebih 27,000 guru mengajar di Afghanistan. Jika kita menentang gadis-gadis mendapat pendidikan, adakah kita akan membiarkan perkara itu,’’ soalnya.
“Terdapat cabaran di sekolah moden, di mana kita hanya benarkan kanak-kanak perempuan belajar dari tahun satu hingga enam. Untuk tahun enam hingga 12, kerajaan tidak menutup pintu dan kita sedang berusaha untuk memperbaiki sektor pendidikan.
Irshadulhaq juga berkata, dasar semasa Afghanistan tidak membenarkan pemimpin politik wanita, selaras dengan undang-undang Syariah.
Beliau menekankan jantina bukan isu semasa mesyuarat delegasi di Malaysia
“Kami bukan menentang (pemimpin politik wanita). “Kami mengikuti Syariah dan apa sahaja yang ditetapkan oleh Islam.
“Fokus kami di sini adalah untuk memahami sistem pendidikan Malaysia, bukan pada jantina” katanya.
Delegasi dari Afghanistan berlepas dari Malaysia pada 17 November lalu.
Kerajaan Afghanistan memberitahu, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan terperinci mengenai cabaran pendidikan, meningkatkan kualiti dan meneroka peluang untuk kerjasama masa depan.
Sabtu lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang mengadakan lawatan selama seminggu pada awal bulan ini.
Fadhlina berkata, delegasi Afghanistan itu dibenarkan untuk memerhati dan belajar daripada sistem pendidikan Malaysia.
Namun, lawatan tersebut mendapat kritikan daripada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, yang mempersoalkan mengapa Kementerian Pendidikan menjadi tuan rumah kepada delegasi Afghanistan, memandangkan dasar Taliban yang menyekat kanak-kanak perempuan dan wanita daripada menghadiri sekolah menengah dan universiti. – 21 November, 2024