KUALA LUMPUR – Johor sedang mempertimbangkan cadangan melaksanakan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah seminggu tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, ia susulan perubahan cuti hujung minggu ke Sabtu dan Ahad yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun hadapan.
“Kerajaan negeri akan terus menambah baik sistem perkhidmatan awam dan sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.
“Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
Onn berkata, bagi memastikan kemuliaan hari Jumaat terus terpelihara, kerajaan negeri menetapkan supaya waktu rehat pada hari Jumaat dilanjutkan daripada satu jam setengah kepada dua jam.
“Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat di antara jam 1 tengah hari sehingga 2 petang.
“Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Belanjawan Johor 2025 bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’ berjumlah RM1.999 bilion dibentangkan oleh Onn Hafiz di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Ia merekodkan pertambahan daripada Belanjawan 2024 yang berjumlah RM1.799 bilion.
“Belanjawan kali ini juga mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion, pertama kalinya negeri merekodkan hasil melebihi RM2 bilion.
“Selain itu Johor turut mencatatkan belanjawan lebihan RM5.12 juta, untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya. – 21 November, 2024