KUALA LUMPUR – Hanya 100 daripada 231 individu yang mengaku pasangan suami isteri dalam kalangan ahli GISB Holdings (GISB) yang ditahan dalam Ops Global di Selangor mempunyai rekod perkahwinan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, ia berdasarkan semakan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia dan sistem dalam talian lain.
“Semakan mendapati hanya 100 orang daripada 231 individu (kalangan ahli GISB) yang mengaku suami isteri ada rekod perkahwinan.
“Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, Jais akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang syariah negeri ini.
“Antara yang boleh disiasat ialah Seksyen 12 (c) berkaitan melanggar fatwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
“..dan siasatan berhubung pernikahan serta perkahwinan ahli GISB merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Serdang), Chua Wei Kiat (PH-Rawang) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berhubung peranan kerajaan negeri, perkembangan terkini serta pemulihan ahli GISBH yang ditahan.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata, program pemulihan ahli GISB dilakukan secara sukarela dan perintah mahkamah.
“Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jais menyedia serta menyelaras modul dan melaksanakan program pemulihan ke atas ahli GISB.
“Setakat 7 November lalu, katanya, 11 peserta ditempatkan di rumah pemulihan MAIS dengan program berpandukan Modul Istitabah MAIS, termasuk memberi latihan kemahiran bersesuaian.
“Modul Istitabah merangkumi empat bahagian iaitu saringan, rawatan kerohanian, pemulihan dan pengukuhan, selain sokongan menitikberatkan berkaitan akidah, fardu ain dan pembentukan sahsiah.
“Sesi pendidikan formal juga dilaksanakan bagi kanak-kanak yang berada di tempat selamat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bagi ahli yang diarah mahkamah menjalani pemulihan mengikut tempoh ditetapkan, ia dilakukan di rumah pemulihan dan perlindungan Mais yang diwartakan,” katanya. – 18 November, 2024