KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan modus operandi sindiket yang disyaki menyeleweng minyak masak paket bersubsidi dicampur dengan minyak masak terpakai sebelum dijual pada harga yang lebih tinggi.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, modus operandi sindiket berjaya dikesan menerusi serbuan Op Tiris di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih, Selasa lalu.
Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh pasukan penguatkuasa KPDN selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan sindiket yang disyaki menyeleweng minyak masak paket.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua premis itu berjaya menemukan anggaran 14,340 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang telah dipotong bungkusan dan disimpan di dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), selain sebahagian yang masih belum dibuka.
“Serbuan pertama melibatkan sebuah kediaman yang disyaki dijadikan sebagai stor haram untuk menjalankan kegiatan memotong minyak masak paket satu kg bersubsidi dan dimasukkan ke dalam tong simpanan.
“Minyak masak yang telah dipotong dan dikumpul itu kemudiannya akan dihantar ke sebuah premis perniagaan yang membeli dan menjual minyak masak terpakai. Di situ, minyak masak berkenaan akan dicampur dengan minyak masak terpakai,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, premis perniagaan itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai dengan menjadikannya sebagai lokasi pengumpulan dan pengedaran minyak masak
Jelasnya, minyak masak yang telah dicampur itu kemudiannya akan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.80 sekilogram kepada pihak industri dipercayai untuk kegunaan biodesel.
“Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sepaket, bila sudah dicampur dengan minyak masak terpakai, sindiket berkenaan boleh jual antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.
“Jadi kita anggarkan sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak enam bulan yang lalu itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM20,000 sehari hasil daripada penyelewengan minyak masak yang dilakukan,” katanya.
Armizan berkata, selain rampasan minyak masak, pihaknya turut menyita beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa buah tangki IBC, tiga buah lori serta sebuah kereta mewah yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.
“Seramai 15 individu terdiri daripada 11 lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Mahkamah Majistret Kajang telah meluluskan permohonan reman bagi kesemua individu yang ditahan itu selama empat hari bermula semalam sehingga 16 November,” katanya.
Armizan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit. – 14 November, 2024