KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti pemandu lori yang dipercayai melanggar mati seekor harimau belang yang mana sebahagian anggota badan harimau itu hilang dipercayai dicuri, di Perak semalam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, anggota badan harimau yang hilang itu adalah empat gigi, taring, kuku di bahagian kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit di kepala binatang terbabit.
“Pemandu telah pun dikenalpasti tetapi mengenai kecurian itu, apa yang kita dapat maklumat mungkin pihak lain.
“Itu masih dalam siasatan pihak polis dan kita sedang mendapatkan maklumat lanjut untuk melihat siapa yang bertanggungjawab ke atas kecurian bahagian-bahagian bangkai harimau itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Enggang Kebangsaan yang pertama di Shah Alam, hari ini.
Semalam tular video yang memaparkan seekor harimau belang yang mati akibat digilis lori dengan kepalanya putus di Kilometer 67.1, di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Lebih menyedihkan hanya tinggal kepala harimau dan beberapa bahagian badan hilang dipercayai dicuri.
Sementara kulit binatang itu pula kelihatan seolah-olah disiat.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, hasil penelitian pihaknya mendapati banyak bahagian daripada harimau belang ini didapati hilang. – 10 November, 2024