KUALA LUMPUR – Video yang memaparkan seekor harimau belang yang mati akibat digilis lori dengan kepalanya putus di Kilometer 67.1, di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kini tular di media sosial.
Lebih menyedihkan hanya tinggal kepala harimau dan beberapa bahagian badan hilang dipercayai dicuri.
Sementara kulit binatang itu pula kelihatan seolah-olah disiat.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut pada jam 9 pagi.
Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati haiwan tersebut telah dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar jam 5.30 pagi ini.
Perhiltitan juga, katanya telah berjaya mengesan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, jantina harimau itu tidak dapat dikenalpasti berikutan keadaan karkas (bahagian badan) yang hancur.
“Karkas harimau itu hancur, jadi kita tak kenal pasti lagi ianya jantan atau betina, dan berat pun tidak boleh hendak dianggarkan, tetapi kita percaya ianya harimau dewasa,’’ katanya kepada media.
Namun beliau percaya harimau belang itu dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temengor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum.
Karkas harimau itu, katanya, akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses taksedemi (pengawetan) khususnya di bahagian kepala mamalia itu yang masih tersisa.
Jelasnya, banyak bahagian badan harimau itu yang telah hilang.
“Hasil penelitian kami, banyak bahagian daripada harimau belang ini didapati hilang. Pihak kami dengan kerjasama polis akan mengumpul maklumat dalam usaha mengesan mereka yang mengambilnya (bahagian badan) tanpa kebenaran.
“Kepada mereka yang telah mengambil bahagian tertentu itu, sila pulangkan sebelum ditangkap dan dituduh di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya – 9 November, 2024