HRD Corp teruskan pembiayaan kursus keluarga dan keibubapaan, kata PM

Suka diingatkan bahawa majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja layak mendapatkan pelepasan cukai: PM

12:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan meneruskan inisiatif pembiayaan kursus yang bertemakan pembangunan keluarga dan keibubapaan kepada pekerja menggunakan caruman levi majikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu sebagai sokongan kepada sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan.

“Saya amat menyokong inisiatif ini dan mengharapkan lebih banyak majikan akan menghantar pekerja mereka untuk menghadiri kursus-kursus pembangunan keluarga dan kemahiran keibubapaan.

“Tawaran ini dibuka sepanjang November tahun ini,” katanya sempena perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Malaysia 2024 bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa Madani.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis yang diadakan di Taman Botani Kuala Lumpur, hari ini.

Menyedari pentingnya masa bersama keluarga, Anwar berkata sepanjang November ini juga kerjasama strategik dilaksanakan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengarahkan semua agensi di bawahnya termasuk pengusaha pelancongan seperti hotel dan inap desa, persatuan taman tema dan persatuan peniaga-peniaga untuk menawarkan pakej istimewa kepada percutian keluarga.

“Tidak terkecuali saya juga sarankan syarikat penerbangan turut sama memberi pakej keluarga bagi mana-mana destinasi percutian keluarga,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga berharap semua kementerian dan kerajaan negeri untuk turut sama menjayakan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan.

Beliau berkata pelaksanaan aktiviti hari keluarga di setiap kementerian dan agensi kerajaan juga perlu dijadikan acara tahunan wajib pada setiap November.

“Bagi sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti amat digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga mengikut kapasiti masing-masing,” katanya.

“Suka diingatkan bahawa majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja layak mendapatkan pelepasan cukai.

“Tuan-tuan dan puan-puan boleh hubungi pihak LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk penjelasan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata keluarga di Malaysia ketika ini menghadapi pelbagai cabaran yang dipengaruhi oleh perubahan sosial, pendidikan, ekonomi dan teknologi yang sangat pantas.

Beliau berkata isu megatrend yang melanda dunia seperti perubahan demografi yakni peralihan penuaan penduduk dan penurunan kadar kesuburan, serta perubahan iklim memberi kesan yang signifikan terhadap institusi keluarga di seluruh dunia.

“Perubahan ini memerlukan tindakan semua pihak di setiap lapisan masyarakat, untuk bersama-sama mencari jalan dalam membantu institusi keluarga agar dapat membangun keluarga MADANI yang lebih kuat, kukuh dan sejahtera.

“Oleh yang demikian, jaminan diberi bahawa kerajaan melalui Agenda Membangun Malaysia Madani akan terus melaksanakan usaha bagi meningkatkan martabat institusi keluarga,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – 9 November, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related