KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua jam tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dilihat meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya, pada jam 4 petang tadi.
Vivy hanya ditemani peguamnya, Shaarvin Raaj Selva Kumar.
Dengan diiringi seorang pegawai SPRM, Vivy beredar dari bangunan berkenaan tanpa suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar sebelum menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam milik mereka.
Terdahulu, Vivy dan suaminya tiba di Ibu Pejabat SPRM menaiki kenderaan sama pada jam 2.34 petang.
Ini adalah hari ketiga Vivy dan suaminya hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ia adalah susulan siasatan membabitkan pasangan terbabit berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Selain pasangan itu, SPRM telah merakam beberapa keterangan individu penting termasuk pegawai kanan Khazanah, PNB, akauntan, penilai syarikat serta introducer.
Selain itu, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang fashion valet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan,’’ katanya.
Pada Rabu, SPRM telah membongkar kediaman pasangan pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar di Mont Kiara, di sini.
Antara barangan yang disita di kediaman tersebut termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Isu kerugian tersebut mencetuskan kemarahan ramai selepas Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen, baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB menjual pegangan RM47 juta dalam FashionValet hanya untuk RM3.1 juta.
Malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga memaklumkan ia akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan dana awam tersebut pada Disember ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang dijangka bermula pada minggu kedua Disember itu akan Khazanah dan PNB. – 7 November, 2024