SPRM sita barangan bernilai RM200,000 termasuk beg tangan, jam mewah di kediaman Vivy

Pasangan itu akan hadir lagi ke SPRM esok pada jam 10 pagi untuk menyambung memberi keterangan

9:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membongkar kediaman pasangan pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar di Mont Kiara, di sini, hari ini.

Menurut sumber, pasangan tersebut sebelum itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 1 petang untuk menyambung memberi keterangan dan kemudiannya dibawa ke kediaman mereka pada jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.

“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan tersebut. 

“Pengeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuk 11 beg tangan  dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan pembongkaran tersebut berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pasangan itu, katanya akan hadir lagi ke SPRM esok pada jam 10 pagi untuk menyambung memberi keterangan.

“Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan berkenaan untuk tujuan membuat siasatan lanjut, ambil dokumen dan sebagainya,

“Jadi siasatan terhadap kedua-duanya masih berjalan, masih belum habis,” katanya kepada Scoop hari ini.

Azam berkata, siasatan kes masih lagi di peringkat awal dan tumpuan adalah kepada pasangan suami isteri berkenaan termasuk dalam mendapatkan dokumen serta barang kes yang diperlukan.

Terdahulu, pasangan pengasas bersama FashionValet itu selesai memberi keterangan hampir tiga jam berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta hari ini.

Isnin lalu, SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan pelaburan tersebut di beberapa lokasi iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah, PNB dan ibu pejabat FashionValet di Bangsar.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 6 November, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related