KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen DAP hari ini mahu Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dikenakan tindakan tegas kerana membuat tuduhan palsu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri dari parti berkenaan.
Menurut Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), DAP perlu mempertahankan maruah dan tidak boleh membenarkan sesiapa sahaja membuat tuduhan fitnah serta pembohongan.
“Saya minta Speaker kenakan hukuman sekeras-kerasnya kepada Pendang. Bukan kali pertama Pendang buat tuduhan dan bukan kali pertama pembangkang buat tuduhan. Saya rasa kita perlu rujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jangan sebarang ucap di dalam Dewan,’’ katanya.
Gesaan sama turut dibangkitkan oleh Chong Zemin (PH-Kampar) yang menyatakan ia bukan kali pertama Awang membuat kenyataan yang terkhilaf.
“Pendang tidak tarik balik, dia tahu terkhilaf dan buat kenyataan salah. Saya minta Speaker bagi keadilan bagi pihak kami. Ini bukan kali pertama. Pendang mesti digantung,’’ katanya.
Mengulas keadaan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya memberikan dua pilihan iaitu memproses usul yang dikemukakan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atau pilihan kedua selesaikan secara baik dengan Awang memohon maaf.
“Saya lihat hansard, saya rasakan Pendang terkhilaf apabila menyebut tiga kali bahawa RM94 juta didapati di sebuah rumah pemimpin dap, sampai sekarang tidak tahu siasatan SPRM dibuat setakat mana.
“Saya tidak tahu Pendang (jika) ada bukti lain, mohon Ketua Whip (pembangkang) maklumkan pada Pendang ada dua pilihan, kalau ada bukti jelaskan, kalau tidak…minta maaf,’’ katanya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ketua Whip PN, berkata beliau perlu berunding dengan Awang, yang tidak hadir hari ini bagi mendapatkan arahan.
“Saya minta ditetapkan satu tarikh dan selesaikan di sini, saya nak diselesaikan cara terbaik,’’ katanya.
Menjawab perkara itu, Johari berkata, beliau bersama-sama Ketua Whip PN serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer akan mencari penyelesaian terbaik dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada Dewan Rakyat kemudian.
Beliau turut meminta semua pihak supaya berhati-hati dan tidak berkongsi sesuatu fakta jika tidak mengetahui kebenarannya.
“Tolong berhati-hati. Saya faham Yang Berhormat juga kadang-kadang nak bermain politik, tetapi susun ayat itu supaya jangan perangkap Yang Berhormat. Boleh susun ayat ‘bolehkah saya mnegetahui isu ini lebih lanjut’.
“Tanya soalan dulu, daripada terus tuduh dan itu akan jadi tuduhan,’’ katanya.
Isu itu bermula ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, Awang mendakwa wang tunai RM94 juta ditemui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman seorang bekas menteri daripada DAP.
Bagaimanapun SPRM menafikannya malah Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai penemuan wang berkenaan – 6 November, 2024