PRN Sabah penting terjemah kerjasama PH-BN hadapi PRU16: Ahmad Zahid

'Tetapi kita tidak akan membuka pintu terlalu luas, sebaliknya hanya akan mengadakan perundingan antara kepemimpinan semua parti gabungan', kata Ahmad Zahid

2:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tahun depan bakal menjadi medan untuk menterjemahkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama PH dan BN menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.

“PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

“Bagi meneruskan kerjasama PH dan BN, kita akan terjemahkannya dalam pilihan raya Sabah dahulu.

“Selepas itu, formula sama akan kita gunakan untuk bekerjasama dengan lain-lain parti gabungan,” katanya kepada media selepas taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak hari ini.

Ahmad Zahid berkata, BN juga tidak akan menutup pintu rundingan dengan gabungan lain untuk meneruskan kerjasama.

“Tetapi kita tidak akan membuka pintu terlalu luas, sebaliknya hanya akan mengadakan perundingan antara kepemimpinan semua parti gabungan,” katanya.

Selain itu Pengerusi BN itu berkata, persetujuan sudah dicapai untuk menggunakan logo masing-masing pada pilihan raya akan datang.

“Semua sudah mencapai persefahaman, tidak akan berlaku pertindihan di mana-mana kerusi ditandingi,” katanya.

Terdahulu, dalam usaha untuk memastikan kestabilan politik negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka PH akan terus menjalin kerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau yang juga Pengerusi PH itu menekankan usaha mengekalkan Kerajaan Perpaduan adalah langkah yang perlu diambil terutama berhadapan situasi politik yang semakin mencabar dalam negara susulan tiada parti politik yang mampu memperoleh majoriti selesa untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan ahli PH dan BN adalah pendirian individu terbabit dan tidak mewakili parti.

“Selagi ketua parti gabungan tidak mengeluarkan kenyataan, itu bukan keputusan parti,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN Sabah bersedia untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang.

Beliau berkata, tindakan ini akan diambil sekiranya tiada kesepakatan kerjasama yang dicapai dengan parti-parti lain.

“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa BN dan PH telah memuktamadkan kerjasama, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya tahun depan.

“Namun, beberapa kenyataan daripada parti tempatan dan pemimpin tertentu di negeri ini membayangkan mereka juga mungkin akan bergerak solo dalam PRN akan datang,” katanya. – 3 November, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related