NARATHIWAT – Seorang tukang karut atau penyanyi dikir barat moden wanita popular di Kelantan antara enam individu ditahan polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, awal pagi semalam.
Sumber polis Thailand berkata, artis wanita berusia 30-an tersebut ditahan pada kira-kira jam 6 pagi bersama lima individu lain, dua perempuan dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 24 tahun.
“Siasatan yang dijalankan mendapati tangkapan dilakukan oleh polis Sungai Golok ketika kesemua suspek baru selesai berhibur di sebuah pusat hiburan, yang terletak di bahagian bawah sebuah hotel.
“Kesemua suspek yang ditahan telah naik ke tingkat atas hotel untuk berehat, namun difahamkan turut terdapat dua individu yang tidak dikenali berada di dalam bilik hotel tersebut,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Kesemua suspek berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok, namun dua lagi individu yang tidak dikenali identitinya berjaya melepaskan diri, demikian menurut sumber.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah menemukan kira-kira 6,000 biji pil dipercayai pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand melalui pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Setakat ini kesemua suspek yang ditahan tidak membuat sebarang pengakuan memiliki dadah tersebut.
“Pihak polis Sungai Golok telah membuka kertas siasatan ke atas kesemua suspek dan akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk tindakan perundangan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan, ditahan dalam serbuan tersebut. – 2 November, 2024