Kerugian pelaburan Khazanah, PNB: SPRM pastikan siasatan adil, kata Azam Baki

Orang ramai diminta memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan ‘perbicaraan awam’ terhadap pihak yang terbabit

4:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam satu perniagaan fesyen dalam talian tempatan akan dijalankan secara adil dan profesional.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.

“SPRM telah buka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan itu.

“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azam turut meminta orang ramai agar memberi ruang bagi pihaknya melakukan siasatan.

“Orang ramai diminta memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan ‘perbicaraan awam’ terhadap pihak yang terbabit,” katanya.

Terdahulu Pengasas FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar,mengakui bertanggungjawab terhadap kegagalan platform e-dagang itu.

Pengakuan ini dibuat ketika Khazanah dan PNB berdepan kritikan terhadap pelaburan masing-masing berjumlah RM27 juta dan RM20 juta dalam FashionValet.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengumumkan keputusan untuk berundur dari FashionValet dengan menyatakan ia adalah demi kepentingan terbaik syarikat itu, untuk menjalani perubahan kepimpinan di tengah-tengah usaha berterusan untuk menstabilkan perniagaan.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 2 November, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related