PORT DICKSON – Seramai 50 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) September lalu kerana disyaki terlibat dalam sindiket ‘counter setting’ atau mengatur kaunter, kini ditempatkan di beberapa unit lain, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Zakaria berkata, kesemuanya tidak lagi berkhidmat di kaunter kawalan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipindahkan daripada penugasan asal.
“Mereka masih dalam siasatan SPRM, memang dari segi tugas di kaunter tidak lagi kita benarkan, kita bagi mereka tugas lain selain daripada tugas di kaunter kawalan pintu masuk itu.
“JIM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai imigresen yang terlibat dengan isu integriti, satu tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah sebaik SPRM selesai menjalankan siasatan terhadap mereka,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau ditemui pengamal media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Pengurusan Keimigresenan Siri 1/2024 membabitkan 361 pegawai di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.
Zakaria berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pegawai JIM di seluruh negara, di samping sedia meningkatkan kerjasama dengan agensi itu bagi menangani isu integriti.
Sebelum ini SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.
Sindiket itu terbongkar selepas 12 individu ditahan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan dan setakat ini, 50 pegawai JIM ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ di KLIA.
Sementara itu, Zakaria berkata JIM sedang dalam peringkat perolehan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kaunter termasuk pintu masuk negara.
“Projek pembangunan ini bukannya lulus secara one-off (sekali) sahaja, ia akan berjalan secara berterusan, malah akan diperluas di seluruh pintu masuk negara.
“Mungkin ada teknologi lain yang boleh membantu kita terutama dalam aspek pendigitalan perkhidmatan imigresen termasuk penggunaan teknologi bagi mengatasi isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota,” katanya. – 2 November, 2024