KUALA LUMPUR – Pemilikan tanah gazet di Kuala Lumpur tidak akan dijual kepada pihak swasta bagi memastikan pembangunan yang terlampau pesat dapat dikawal dengan sebaiknya.
Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD), Tan Booi Charn berkata, itu antara intipati hasil perbincangan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif baru-baru ini.
Beliau berkata, ia susulan tuntutan KLRA+SD kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini.
“Dalam pertemuan itu, kami berkongsi pandangan dan antara yang dicadangkan KLRA+SD adalah untuk melindungi tanah gazet daripada dipindah milik kepada pihak swasta.
“Datuk Bandar memberi jaminan sepanjang dia berkhidmat, beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan tanah-tanah yang diwartakan tidak dijual kepada swasta (untuk tujuan pembangunan).
“Ini juga termasuk kawasan tadahan banjir yang turut antara lokasi kritikal yang perlu diberi perhatian,” katanya hari ini.
Dalam pertemuan selama satu jam itu, Datuk Bandar juga memaklumkan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan jawatankuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung perkara berkenaan.
Antara intipati lain, KLRA+SD turut membangkitkan isu mengenai pembangunan semula bangunan (redevelopment) usang di sekitar ibu kota.
Ia susulan aduan diterima pihak persatuan daripada persatuan penduduk berhubung tindakan pemaju yang didakwa tidak memberikan maklumat menyeluruh berkaitan projek yang dilakukan mereka.
“Kami juga ada membangkitkan isu dan cabaran yang dihadapi penduduk dalam pembangunan semula, yang mana kebanyakan bangunan usang yang disasar untuk dibangunkan semula.
“Dalam proses itu, KLRA+SD dapat empat aduan persatuan penduduk berkaitan agen pemaju menggunakan cara yang tidak beretika serta tidak memberikan maklumat menyeluruh kepada penduduk (agar mereka mengosongkan kawasan).
“Susulan itu, kami telah memberi cadangan kepada Datuk Bandar agar diadakan satu garis panduan ‘do & don’t’ diberikan kepada pihak pemaju berhubung isu pembangunan semula.
“Selain memberi lebih banyak pendedahan dan kefahaman kepada penduduk berkaitan perkara ini (supaya penduduk tidak ditekan/ditindas oleh pemaju),” kata Booi Charn.
Datuk Bandar juga mencadangkan agar pertemuan bersama KLRA+SD diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi membincangkan permasalahan berbangkit melibatkan penduduk ibu kota.
Terdahulu, Scoop melaporkan beberapa komuniti penduduk yang dikenalpasti sebagai kawasan pembangunan semula berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 kini hidup dalam keadaan kurang tenteram disebabkan pendekatan tidak profesional yang dikendalikan oleh agen serta wakil pemaju.
“Sejak beberapa bulan lalu, kawasan kediaman Taman Cantik, di sini, yang telah dikenalpasti sebagai kawasan pembangunan semula menjadi huru-hara dan berpecah-belah akibat pendekatan tidak profesional oleh agen dan wakil pemaju.
“Manakala sejak satu hingga tujuh tahun lalu, kawasan kediaman Taman Segar, Flat Rajawali dan Taman Sri Endah Apartmen telah didekati oleh agen pemaju yang tidak berhemah dan kurang beretika.
“Wakil pemaju mewujudkan permusuhan antara penduduk disebabkan perbezaan pendapat dan pendirian, di mana sebahagian menyokong manakala sebahagian lagi tidak menyokong pemaju.
“Kurangnya ketelusan boleh menyukarkan penduduk untuk menyuarakan masalah mereka atau mendapatkan penyelesaian yang berkesan,” katanya. – 1 November, 2024