KUALA LUMPUR – Dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat warga asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan, bernilai RM1.8 bilion.
Perintah tahanan reman sehingga 4 November itu dikeluarkan oleh Pendaftar, Tuan Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40-an hingga 50-an itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM petang semalam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan Pengurus bagi Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada Pengerusi Pertubuhan.
“Pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
”Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.
Terdahulu seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat ditahan reman selama empat hari hingga 2 November bagi membantu siasatan berhubung kes sama.
Sebelum ini Scoop melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap kewujudan kartel dalam pengagihan dan pembekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Menurut sumber, siasatan SPRM itu menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih. – 31 Oktober, 2024