Jenayah kolar putih, tiada beza sistem perundangan di Malaysia dan Singapura: Azmi

Meskipun kedua-dua kes mendapat perhatian namun sistem perundangan tetap memberikan peluang kepada mereka untuk membela diri dan mendapatkan pembelaan

2:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hukuman melibatkan jenayah kolar putih dari segi sistem perundangan dan keadilan di Malaysia dengan Singapura tidak menunjukkan sebarang perbezaan, terutama bagi kes melibatkan golongan berprofil tinggi.

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan memberikan contoh mengenai kes berprofil tinggi melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan. – Gambar Bernama, 31 Oktober, 2024

Menurut Azmi, meskipun kedua-dua kes mendapat perhatian namun sistem perundangan tetap memberikan peluang kepada mereka untuk membela diri dan mendapatkan pembelaan.

“Saya tidak nampak ada bezanya sistem keadilan di Singapura dan di Malaysia, melibatkan jenayah kolar putih sama ada kes salah guna kuasa atau pun rasuah.

“Nak kata lama atau tidak (perbicaraan melibatkan kes jenayah kolar putih/berprofil tinggi), kita kena beri peluang seboleh-bolehnya kepada OKT (orang kena tuduh) untuk mendapatkan keadilan.

“Ia penting supaya ruang diberi seluas-luasnya untuk mereka mempertahankan diri,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri itu diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap 25 tuduhan jenayah melibatkan dana RM2.27 bilion daripada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sementara pada 3 Oktober lalu, bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran dihukum penjara 12 bulan kerana menghalang proses keadilan dan menerima ‘hadiah haram’, berhubung perbicaraan rasuah politik pertama di negara berkenaan.

Kedua-dua kes ini melibatkan dua individu berprofil tinggi di Malaysia dan Singapura dan hangat diperkatakan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG), Datuk Seri Akhbar Satar pula berkata, sistem perundangan memerlukan penelitian tinggi apatah lagi ia melibatkan kes berprofil tinggi.

Menurutnya, prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mengikut proses perundangan diaplikasikan terutama bagi pihak pembelaan melakukan hujah-hujah mempertahankan diri melibatkan anak guam mereka.

“Dalam proses mahkamah, peringkat kedua ialah Najib boleh membela diri memanggil saksi-saksi dan juga untuk mewujudkan keraguan munasabah.

“Selain daripada itu, beliau boleh diberi peluang untuk hujah-hujah bela diri mengikut undang-undang… itu antara proses yang boleh dilaksanakan oleh pihak peguam bela.

“Ia sejajar dengan status kes berprofil tinggi selain proses siasatan yang panjang oleh agensi penguatkuasaan negara. Apa yang penting SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menerusi agensi dalam dan luar negara berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada dana 1MDB yang diseleweng untuk dikembalikan semula kepada kerajaan,” katanya menerusi temubual dengan Astro Awani semalam.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Susulan sabitan beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta. – 31 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related