Kes RM2.27 billion IMDB: Najib diarah bela diri

Najib akan memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad mulai 2 Disember ini

12:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap 25 tuduhan jenayah melibatkan dana RM2.27 bilion daripada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, 71, bagi semua pertuduhan.

Ia melibatkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.

“Dalam semua keadaan, berdasarkan bukti sedia ada dan selepas menjalankan penilaian maksimum kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan inti pati bagi semua kesalahan,” kata Lawrence semasa prosiding di mahkamah tinggi di sini hari ini.

Sementara peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang kini menjalani hukuman penjara, memilih untuk memberi keterangan bersumpah bagi pembelaannya terhadap pertuduhan, sekali gus membolehkan beliau disoal balas oleh pendakwa raya.

Hakim menetapkan 2 Disember sebagai permulaan kes pembelaan selepas Shafee berhujah bahawa tarikh awal 18 November tidak akan memberi masa yang cukup kepada pihak pembelaan untuk berunding dengan anak guam dan saksi mereka.

Najib, ditemani oleh isterinya, Datin Seri Rosmah yang hadir bagi memberikan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu. Sementara hampir 100 penyokongnya berkumpul di luar Kompleks Mahkamah seawal 7 pagi bagi menyatakan solidariti kepada Najib.

Najib, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bekas menteri kewangan itu juga berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Manakala bagi 21 tuduhan wang haram, Najib didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, manakala Najib diwakili Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Susulan sabitan beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta. – 30 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Adakah Petronas akan kurangkan pekerja untuk atasi kerugian daripada perjanjian dengan Petros?

Sumber mendakwa syarikat minyak dan gas negara dijangka mengalami kerugian hasil sebanyak 30% sebaik formula yang dipersetujui untuk pengagihan gas asli di Sarawak dilaksanakan

Related