KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu baharu bagi tempoh 2024-2027, menggantikan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang melebihi had usia.
Hilman mengetepikan saingannya Akmal Zahin Zainal Zahir dari Seputeh dengan perbezaan 170 undi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, Hilman memperoleh 1,888 undi, sekali gus mengetepikan saingannya Akmal Zahin Zainal Zahir dari Seputeh yang mendapat 1,718 undi.
“Naib Ketua Armada pula dimenangi Muhammad Faiz Rahmad yang memperoleh 1,790 undi, diikuti Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Ad Adib Shaharuddin (490).
“Bagi Pengerusi Tetap Armada Muhamad Amerul Muhamad memperoleh 1,799 undi manakala Muhammad Aiman Afiq Abdul Majid (1,789). Naib Pengerusi Tetap Armada, Mohd Firdaus Mohd Zaini (1,867),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Abdul Azim berkata, sejumlah 111 Armada Bahagian bersidang dan berdasarkan jumlah kertas undi yang diterima pada pemilihan Armada pusat jumlah kehadiran adalah 42% daripada jumlah perwakilan yang layak hadir iaitu, 9,076 orang.
“JPP turut menerima sejumlah 27 aduan dan bantahan antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi,” katanya.
Sementara itu, Hilman ketika mengulas kemenangannya, berkata misinya kini adalah untuk memperkukuhkan Armada dan berusaha memenangkan Bersatu pada pilihan raya yang akan datang.
“Saya dan pucuk pimpinan baharu akan berjuang bersama-sama sebagai satu keluarga yang besar.
“Peranan kami masing-masing adalah untuk memastikan kemenangan parti dan gabungan dalam pilihan raya dan setiap ahli dalam Bersatu adalah aset untuk membawa kekuatan untuk kita menang,” katanya. – 29 Oktober, 2024